Anggota wanita APM Langkawi ketika menyertai latihan menangkap ular dan terjunan di menara tinggi di Kompleks APM Langkawi. FOTO Zuliaty Zulkiffli.
Anggota wanita APM Langkawi ketika menyertai latihan menangkap ular dan terjunan di menara tinggi di Kompleks APM Langkawi. FOTO Zuliaty Zulkiffli.
Zuliaty Zulkiffli

TIDAK semua wanita mampu turun dari menara tinggi menggunakan tali dan menangkap haiwan berbisa, namun bagi anggota wanita Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) ia adalah kebiasaan.

Ini menjadikan kemampuan anggota wanita dalam agensi itu setanding dengan lelaki dalam melaksanakan tugas lasak dan berbahaya.

Bagi anggota wanita APM Langkawi, Sazatul Azuna Mahmud, 26, walaupun baru setahun berkhidmat namun dia sudah biasa mengendalikan tugas lasak meskipun terpaksa menjalani latihan itu dalam bulan Ramadan.

Katanya, antara tugas paling mencabar adalah ketika menyertai operasi menangkap ular kerana bukan mudah untuk dilakukan jika tiada kemahiran.

“Nak tangkap ular besar seperti tedung selar dan sawa amat susah kerana jika tersilap langkah mungkin akan menyebabkan nyawa melayang.

“Namun dengan latihan pengendalian menangkap ular yang dilakukan seperti ini, saya dan anggota wanita di sini boleh melaksanakan tugas yang diberikan,” katanya ketika ditemui di Kompleks Pejabat APM Langkawi.

Sazatul Azuna berkata, setiap kali keluar mengikuti operasi menangkap ular, apa yang difikirkan adalah jenis ular dan lokasi reptilia itu berada untuk memudahkan tangkapan dilakukan menggunakan peralatan khas menangkap ular.

Rakannya, Suria Mansor, 24, berkata, melakukan latihan aksi terjunan pada aras ketinggian 28 meter amat menakutkan dan perlukan ketahanan diri yang kuat selain mental dan fizikal.

Katanya, walaupun gayat namun dia mampu melakukan aksi terjunan yang baik menggunakan tali serta mempraktikkan latihan dan tunjuk ajar jurulatih berpengalaman.

“Mulanya saya takut namun bila memikirkan tugas kami adalah untuk menyelamatkan nyawa, saya lakukan juga sehingga berjaya,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Bencana, Operasi dan Latihan APM Langkawi, Leftenan (PA) Azamsah Apearel berkata, latihan 10 anggota wanita dilakukan untuk memantapkan lagi kemahiran mereka dalam melaksanakan tugas bersama anggota lelaki.

Beliau berkata, sepanjang bulan Ramadan ini, mereka dilatih dengan pelbagai latihan bagi menguatkan semangat mereka ketika menjalankan operasi.

“Latihan terjunan di menara ini adalah salah satu kaedah penyelamatan menyelamat mangsa yang berada di aras tinggi terutamanya di bangunan, gunung dan bukit.

“Selain itu, anggota wanita ini juga dilatih untuk mengendalikan ular kerana banyak kes tangkapan ular diterima di pulau ini sejak awal tahun ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2019 @ 12:37 PM