ULAR tedung selar sepanjang 3.5 meter ditangkap APM Langkawi. FOTO Hamzah Osman.
ULAR tedung selar sepanjang 3.5 meter ditangkap APM Langkawi. FOTO Hamzah Osman.
Hamzah Osman


TUKANG kayu sedang menyiapkan kabinet di sebuah kediaman di Kampung Nyiur Chabang, Langkawi, panik dengan kehadiran seekor ular tedung selar sepanjang 3.5 meter, 11 pagi hari ini.

Hashim Abdullah, 60, berkata, dia yang sedang bertukang berhenti seketika selepas menyedari kehadiran reptilia berbisa itu.

“Ular tedung selar itu dipercayai datang dari arah semak berhampiran sebelum memasuki rumah menerusi pintu belakang dan terus ke bilik mandi.

“Selepas melakukan pemeriksaan saya mendapati reptilia itu sedang melingkar dalam tab mandi,” katanya ketika dihubungi.

Tukang rumah itu berkata, bimbang perkara tidak diingini berlaku dia kemudian menghubungi talian kecemasan 999.

Sementara itu, Pegawai Bencana Operasi dan Latihan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Langkawi, Azamsah Apearel berkata, pihaknya menerima panggilan pada 11.02 pagi.

Beliau berkata, operasi disertai tiga anggota dan mereka mengambil masa kira-kira 15 minit untuk menangkap ular berbisa seberat sembilan kilogram itu.

“Operasi tamat jam 12.03 tengah hari dan ular dibawa pulang ke pejabat sebelum diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 April 2019 @ 2:56 PM