OSMAN (tiga dari kanan) meninjau bilik operasi rawatan kepada penduduk terhidu pencemaran gas kimia di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Pasir Gudang, semalam. FOTO Adi Safri.
OSMAN (tiga dari kanan) meninjau bilik operasi rawatan kepada penduduk terhidu pencemaran gas kimia di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Pasir Gudang, semalam. FOTO Adi Safri.
Mohd Sabran Md Sani


MENTERI Besar Johor, Datuk Osman Sapian akhirnya mengaku berada di Pulau Batam, Indonesia, atas urusan kerja pada 15 Mac lalu, namun hanya berada sehari di pulau berkenaan berbanding tempoh dijadualkan selama tiga hari.

Osman dalam satu kenyataan berkata, beliau sepatutnya mengadakan lawatan selama tiga hari, namun terpaksa memendekkan tempoh di pulau berkenaan atas keperluan mendesak untuk menguruskan operasi pembersihan di (Sungai Kim Kim) Pasir Gudang.

Katanya, sepanjang kurang 24 jam berada di Batam, beliau sentiasa berhubung dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana.

“Sepanjang berada di Batam, pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana berhubung dengan saya setiap dua jam bagi memastikan segala keperluan dan operasi mengawal bencana berjalan lancar dan teratur.

“Saya berharap, kenyataan terbaharu ini dapat merungkai salah faham atau kekeliruan dalam kalangan rakyat dan berterima kasih kepada semua kakitangan dan agensi kerajaan yang gigih bekerja 24 jam tanpa henti bagi mengurus dan mengawal operasi bencana ini.

“Kenyataan ini dikeluarkan bagi merujuk kepada laporan berhubung lawatan kerja sehari saya ke Pulau Batam, pada 15 Mac lalu,” katanya.

Beliau berkata, lawatan kerja delegasi Kerajaan Negeri Johor dirancang sebelum ini berkaitan urusan kerja untuk meningkatkan rangkaian kerjasama di antara penggerak industri pelancongan/pelabur Johor dengan penggerak industri di Indonesia khususnya Pulau Batam.

Menurutnya, lawatan kerja itu pada asalnya selama tiga hari, namun mereka memendekkan lawatan hingga kurang sehari atas keperluan mendesak untuk mengurus operasi pembersihan di Pasir Gudang.

“Saya membatalkan beberapa sesi pertemuan lain pada lawatan kerja itu, namun beberapa mesyuarat penting tidak dapat dielakkan.

“Ini adalah penting sebagai persediaan kerajaan negeri dalam menghadapi Tahun Melawat Johor 2020.

“Saya berterima kasih kepada Wali Kota Batam, Muhammad Rudi kerana memahami sebab beberapa sesi lawatan dan mesyuarat terpaksa dibatal dan dipendekkan kerana bencana di Pasir Gudang,” katanya sambil menjelaskan pihak terbabit melahirkan rasa sedih atas kejadian pencemaran di Pasir Gudang.

Semalam, ketika diajukan soalan berkaitan ketiadaannya di negeri ini, Osman hanya menjawab: “Itu (ke Batam) bukan cerita hari ini (semalam), hari ini kita lebih serius dalam hal ini (pencemaran Sungai Kim Kim).”

Tanpa menjawab soalan sama ada beliau ke pulau itu atau tidak, Osman meninjau bilik operasi rawatan kepada penduduk yang terhidu pencemaran gas kimia di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Pasir Gudang.

Netizen sebelum ini mempertikaikan Osman berkunjung ke pulau peranginan Batam, ketika negeri yang ditadbirnya ditimpa musibah akibat pencemaran sisa kimia.

  • Lagi berita berkaitan gas beracun Sungai Kim Kim
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2019 @ 3:54 PM