Pekerja menjalankan pembersihan sisa bahan toksik di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang. FOTO Khairul Ghazali
Pekerja menjalankan pembersihan sisa bahan toksik di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang. FOTO Khairul Ghazali
Mohd Sabran Md Sani


HANYA 300 meter lagi kerja pembersihan yang perlu dijalankan di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang yang tercemar dengan sisa kimia sejak 7 Mac lalu.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian selepas mendapat maklumat terkini berkaitan usaha membersihkan sungai yang sudah dilakukan sejauh 1.2 kilometer.

“Kita sudah membersihkan sungai tercemar (Sungai Kim Kim) sejauh 1.2 kilometer (daripada 1.5 km) dan ada baki 300 meter lagi.

“Saya berharap kerja pembersihan sungai tercemar dapat diselesaikan selewat-lewatnya satu atau dua hari lagi,” katanya ketika mengadakan lawatan di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), malam ini.

Osman meluangkan masa kira-kira dua jam bermula 7.40 petang tadi melawat bilik operasi yang memberikan rawatan awal kepada orang ramai akibat pencemaran.

Terdahulu, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin memaklumkan kerja pembersihan Sungai Kim Kim yang tercemar dengan sisa kimia dijangka mengambil masa lebih singkat berbanding jangkaan awal.

Media semalam melaporkan, sepanjang 680 meter Sungai Kim Kim, Taman Pasir Putih, Pasir Gudang yang tercemar akibat buangan sisa kimia sudah dibersihkan.

Lokasi itu adalah kawasan yang paling tercemar susulan pembuangan sisa bahan kimia di sungai itu pada 7 Mac lalu.

Sebanyak 250 ‘jumbo beg’ berisi tanah dan bahan enap cemar serta 350 metrik tan air tercemar sudah dikumpulkan dalam operasi bermula kelmarin dan akan dilupuskan di kilang yang dilesenkan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Sementara itu Osman mengucapkan penghargaan kepada semua agensi terbabit, termasuk sukarelawan yang membantu mangsa pencemaran.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mac 2019 @ 11:40 PM