AHMAD Faizal. FOTO ARKIB NSTP
AHMAD Faizal. FOTO ARKIB NSTP
Mohd Husni Mohd Noor


TUN Dr Mahathir Mohamad berpuas hati dengan prestasi Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu biarpun wujud spekulasi bagi menggantikan Menteri Besar Perak itu.

Perdana Menteri berkata, beliau akui wujud kontroversi untuk menjatuhkan Faizal kerana ada individu ingin mengambil alih kedudukannya.

“Kontroversi wujud kerana ada pihak yang mahu ambil alih kedudukannya, justeru orang akan cari kontroversi mengenainya,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas desakan pihak tertentu yang mahu menjatuhkan Ahmad Faizal daripada jawatan Menteri Besar.

Sebelum ini, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad mendakwa kedudukan menteri besar di negeri itu masih tidak kukuh ekoran ada usaha berterusan untuk menjatuhkannya.

Menurutnya, usaha tersebut digerakkan oleh salah seorang EXCO di bawah Ahmad Faizal sendiri.

“Difahamkan, EXCO terbabit kini memujuk beberapa Adun Barisan Nasional (BN) dan mendakwa sudah mendapat restu daripada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad,” katanya.

Ahmad Faizal ialah Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak dan wakil tunggal daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak sebelum Ahii Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin meninggalkan UMNO.

Sementara itu, mengenai lawatan Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian mengadakan lawatan ke Batam, Indonesia tatkala Pasir Gudang dilanda pencemaran toksik, Dr Mahathir memaklumkan beliau tidak tahu menahu mengenai perkara itu.

“Dia pergi ke? Saya tidak tahu,” katanya.

Semalam, Osman mengadakan lawatan ke Pulau Batam, Indonesia bagi mempromosikan program Tahun Melawat Johor 2020.

Bagaimanapun, tindakan Osman itu mengundang rasa tidak puas hati netizen terutama ketika rakyat di Pasir Gudang berdepan musibah pencemaran bahan kimia.

Dalam ada itu, Osman menegaskan lawatannya ke Pulau Batam, Indonesia ketika adalah disebabkan urusan kerja yang sudah dijadualkan sejak awal lagi sebelum ini.

Malah, katanya, beliau menyerahkan tanggungjawab sementara kepada Exco Kesihatan, Pertanian dan Alam Sekitar negeri, Dr Sahruddin Jamal serta wakil rasmi untuk memantau keadaan mangsa yang terjejas.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mac 2019 @ 11:31 AM