WAKIL media berkampung di luar perkarangan selepas diarahkan keluar dari bilik media. FOTO  Hairul Anuar Abd Rahim
WAKIL media berkampung di luar perkarangan selepas diarahkan keluar dari bilik media. FOTO Hairul Anuar Abd Rahim
Mohd Sabran Md Sani


SEKRETARIAT Pusat Kawalan Operasi Bencana Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Johor (JPBNJ) menghalau semua petugas media dari Menara Aqabah Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) tengah hari tadi.

Tindakan itu diambil dipercayai selepas mereka panik dengan penemuan lebih 30 tong biru dipercayai mengandungi sisa bahan kimia di Sungai Sembilang dan Sungai Masai, kelmarin, hingga memaksa JPBNJ membatalkan dua sidang media harian, semalam.

Terbaru, JPBNJ mengambil langkah drastik menghalau semua petugas media dengan arahan Yang Dipertua MPPG, Zainor Adani.

Selain itu, kakitangan MPPG mengarahkan enam petugas dari Harian Metro, Berita Harian, Bernama, The Star dan wakil pejabat Menteri Besar supaya berkumpul di luar bangunan dan terdedah kepada ancaman pencemaran.

Arahan itu dikeluarkan selepas sembilan hari petugas media berkampung di menara berkenaan bagi membuat liputan pencemaran Sungai Kim Kim, berikutan ia menjadi lokasi sidang media diadakan setiap hari.

Insiden itu berlaku ketika media selesai membuat liputan penyerahan bantuan Pejabat Daerah Tangkak di lokasi itu pada jam 12 tengah hari.

Selesai menjalankan tugasan, tiga penguat kuasa mengarahkan kumpulan media keluar dari bangunan itu dan tidak boleh memasuki dewan yang menjadi lokasi sidang media.

JPBNJ yang sering memberikan kerjasama sebelum ini mula menunjukkan perubahan sebaik laporan penemuan lebih 30 tong biru dipercayai berisi sisa bahan kimia disiarkan media semalam.

Malah, beberapa sidang media harian yang dijadualkan tiba-tiba dibatalkan menyebabkan petugas media terpaksa bergantung kepada kenyataan media.

Sejak 7 Mac lalu, enam petugas media termasuk wartawan Harian Metro, Mary Victoria Dass, terpaksa mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar selepas hidungnya berdarah, sakit tekak, loya dan pening kepala ketika membuat liputan di lokasi itu.

Mary petugas media ketiga yang mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar akibat ‘Simptom Kim Kim’ selepas wartawan Astro Awani, Ernalisa Othman, yang alami loya, pening dan muntah Rabu.

Pada hari sama, Ketua Biro TV3 Johor, Zahir Senapiah turut menjadi mangsa ‘Simptom Kim Kim’, apabila muntah-muntah ketika berehat di rumah selepas pulang dari membuat liputan di sekitar Pasir Gudang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2019 @ 1:29 PM