ANTARA 111 sekolah yang ditutup susulan pencemaran Sungai Kim Kim. FOTO arkib NSTP
ANTARA 111 sekolah yang ditutup susulan pencemaran Sungai Kim Kim. FOTO arkib NSTP
Mohd Sabran Md Sani


KEPUTUSAN sama ada 111 sekolah di Pasir Gudang yang ditutup susulan pencemaran bahan kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang akan beroperasi semula atau sebaliknya akan diketahui hari ini.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata, perkara itu akan diumumkan selepas mendengar taklimat daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana di Bilik Gerakan Utama di Pasir Gudang.

“Hasil daripada taklimat kita akan tentukan sama ada semua sekolah yang ditutup sebelum ini benar-benar selamat untuk dibuka kepada guru dan murid terbabit.

“Saya ingin tegaskan di sini, bahawa keselamatan guru, murid, kakitangan dan pekerja sekolah sentiasa menjadi keutamaan Kementerian Pendidikan Malaysia,” katanya pada sidang media selepas melawat mangsa di Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Beliau turut menzahirkan perasaan syukur dengan perkembangan positif membabitkan mangsa pencemaran bahan kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, yang ditempatkan di wad hospital ketika ini.

Beliau berkata, perkembangan itu hasil lawatannya ke HSA pagi ini apabila melihat ramai guru dan pelajar sekolah yang menerima rawatan semakin pulih.

“Pada hari ini saya sangat gembira melihat ramai guru dan murid yang menerima rawatan sudah semakin pulih berbanding keadaan yang dilalui mereka, minggu lalu.

“Seperti yang semua sedia maklum, ini adalah lawatan susulan saya yang kedua selepas lawatan pertama,minggu lalu dan saya hadir pada hari ini untuk melihat sendiri keadaan pesakit yang terjejas akibat insiden pencemaran sisa kimia di Pasir Gudang, khasnya guru-guru dan murid-murid,” katanya.

Katanya, beliau percaya dalam masa beberapa hari lagi, lebih ramai akan dibenarkan pulang.

“Saya sekali lagi mengutuk tindakan mereka yang tidak berperikemanusiaan sehingga menyebabkan bencana sisa kimia ini berlaku dan menjejaskan kesihatan serta keselamatan penduduk sekitar daerah Pasir Gudang,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan gas beracun Sungai Kim Kim
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2019 @ 10:50 AM