PAPAN tanda yang rosak dilanggar motosikal. FOTO Ihsan PDRM.
PAPAN tanda yang rosak dilanggar motosikal. FOTO Ihsan PDRM.
Mohd Khidir Zakaria


DUA lelaki cedera dalam kemalangan berasingan di sekatan jalan raya sekitar Teluk Kemang, Port Dickson, sejak Ops Covid-19 dilancarkan 18 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, kejadian pertama pada 10.05 malam, 7 April lalu di kawasan Sekatan Jalan Raya (SJR) Zon Telok Kemang berhampiran dengan kawasan Pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson.

“Siasatan awal mendapati sebuah motosikal dari arah Teluk Kemang menghala ke Pasir Panjang ditunggang seorang lelaki berusia 38 tahun hilang kawalan dan melanggar papan tanda’ AWAS PEMERIKSAAN POLIS’.

“Akibat kemalangan itu, mangsa cedera di muka, kaki, tangan dan kepala. Mangsa dibawa ke Hospital Port Dickson (HPD) untuk menerima rawatan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Katanya, kes kedua membabitkan seorang lagi penunggang motosikal, lelaki berusia 58 tahun yang hilang kawalan lalu melanggar penghadang jalan di Sekatan Jalan Raya (SJR) di Teluk Kemang dari arah Pasir Panjang menghala ke Port Dickson.

“Kejadian berlaku pada 10.30 pagi Khamis lalu menyebabkan mangsa mengalami cedera ringan di kaki dan mendapat rawatan di HPD.

“Kedua-dua kemalangan ini tidak membabitkan sebarang kecederaan kepada petugas SJR polis dan tentera yang bertugas di kedua-dua lokasi ini,” katanya.

Aidi Sham berkata, kemalangan hanya menyebabkan kerosakan aset PDRM iaitu papan tanda pemeriksaan polis yang patah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Peraturan 11 (Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020),” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 April 2020 @ 12:30 PM