GAMBAR hiasan. Pantai Teluk Kemang pada 20 Ogos, lalu. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. Pantai Teluk Kemang pada 20 Ogos, lalu. FOTO arkib NSTP
Mohd Khidir Zakaria


POLIS menafikan kejadian tular di media sosial kononnya kanak-kanak perempuan dilarikan lelaki di Pantai Teluk Kemang, Port Dickson, 30 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, tiada sebarang laporan diterima berhubung kejadian itu.

"Berita di mana seorang kanak-kanak perempuan dilarikan seorang lelaki Melayu sejauh 3.5 km dan ditinggalkan di hujung pantai adalah tidak benar kerana tiada sebarang laporan polis diterima berhubung kejadian itu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Walaubagaimanapun, pada 2.30 petang semalam, sepasukan polis daripada Balai Polis Teluk Kemang dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dimaklumkan seorang kanak-kanak perempuan berumur enam tahun hilang di Pantai Teluk Kemang.

"Kanak-kanak ini ditemui semula pada 3 petang oleh pengusaha bot di kawasan Pantai 2 Teluk Kemang dan diserahkan dengan selamat kepada ibu bapa kanak-kanak ini.

"Kanak-kanak ini dipercayai tersesat dan hilang dari pandangan keluarga mereka disebabkan kesesakan pengunjung yang membanjiri kawasan tersebut ekoran cuti umum," katanya.

Aidi berkata, jarak tempat hilang dan tempat dijumpai oleh pengusaha bot adalah lebih kurang 100 meter dari kawasan ahli keluarganya berkumpul.

"Menurut bapa kanak-kanak itu, mereka sekeluarga datang ke Port Dickson bersama empat orang anak berusia dua tahun hingga 12 tahun.

"Mereka sekeluarga datang dari Cheras, Selangor dengan tujuan untuk bercuti sambil beriadah di Pantai Teluk Kemang," katanya.

Tambahnya, polis menasihatkan orang ramai dan pengunjung pantai untuk memastikan keselamatan ahli keluarga ketika beriadah di pantai ini serta menjaga penjarakan sosial ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak menyalahgunakan media sosial atau tindakan tegas akan diambil mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 September 2020 @ 12:05 PM