Muhammad Fahmiezul atau dikenali sebagai Popo didakwa memperdayakan 14 mangsa, dengan menawarkan tiket penerbangan ke dalam dan luar negara.
Muhammad Fahmiezul atau dikenali sebagai Popo didakwa memperdayakan 14 mangsa, dengan menawarkan tiket penerbangan ke dalam dan luar negara.
Siti Sofia Md Nasir


SEORANG lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Butterworth, Pulau Pinang, atas tuduhan menipu penjualan tiket penerbangan murah, membabitkan kerugian sebanyak RM51,800.

Tertuduh, Muhammad Fahmiezul Helmi Abdul Majid, 27, mengangguk faham ketika 18 pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret M Kalaiarasi.

Mengikut semua pertuduhan itu, Muhammad Fahmiezul atau dikenali sebagai Popo memperdayakan 14 mangsa, dengan menawarkan tiket penerbangan ke dalam dan luar negara.

Dia melakukan kesalahan itu membabitkan penjualan tiket pergi dan balik ke Australia, India, Indonesia, Korea, dan Sabah, antara Disember 2017 hingga Mei tahun lalu, yang dilakukan menerusi akaun Facebook ‘Popo Maembong Entreprise’.

Muhammad Fahmiezul didakwa melakukan semua kesalahan itu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh didenda jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Aisyah Al-Humayrah Kamaruzaman menawarkan tertuduh diikat jamin dengan RM10,000 bagi setiap pertuduhan, berikutan kesalahan yang dilakukan Muhammad Fahmiezul adalah banyak dan membabitkan ramai mangsa.

Bagaimanapun, Muhammad Fahmiezul memohon mahkamah mengurangkan jaminan berikutan dia berazam untuk menggantikan semula semua wang mangsa, selain keadaan ibunya yang tidak sihat.

Mahkamah kemudiannya membenarkan ikat jamin dengan jumlah RM32,200, dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan, serta menetapkan 19 April hadapan bagi serahan dokumen.

Muhammad Fahmiezul diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ruzanna Abdul Rahim.

Terdahulu, suasana hiba menyelubungi mahkamah apabila Muhammad Fahmiezul menangis berpelukan dengan ibunya, sebelum dia dibawa turun polis untuk ke lokap semula.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2019 @ 5:36 PM