GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Tiga individu termasuk Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Mohd Hasbie Muda dihadapkan ke tiga Mahkamah Majistret di sini berhubung perhimpunan membantah kenaikan harga barang di ibu negara.

Mohd Hasbie, 35, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Batu Muhammad Sabda Suluh Lestari Yahya, 33, dan Presiden Kesatuan Pelajar sebuah universiti awam Muhammad Aliff Naif Mohd Fizam, 24, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Wong Chai Sia, Aina Azahra Arifin dan S. Mageswary.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa selaku penganjur telah gagal memberitahu pegawai polis yang menjaga daerah Dang Wangi lima hari sebelum mengadakan perhimpunan di Masjid Jamek Kampung Baru, Jalan Raja Alang dan di hadapan Kompleks Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini.

Mohd Hasbie didakwa melakukan perbuatan itu pada 2 petang 1 Julai lepas manakala Muhammad Sabda dan Muhammad Aliff masing-masing pada 3.30 petang 9 Julai dan 2 petang 23 Julai lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 9 (5) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Aris Kamalluddin, Afiq Nazrin Zaharinan, Izalina Abdullah, Muhamad Zuraidi Zulkifli, Nur Aqilah Ishak manakala peguam Muhammad Faiz Fadzil, Bryan Ng Yih Miin dan Asheeq Ali Sethi Alivi mewakili semua tertuduh

Muhammad Faiz yang mewakili Mohd Hasbie memohon pertuduhan terhadap anak guamnya dibatalkan atas alasan ia tidak berasas dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Kamarul Aris berhujah permohonan itu bersifat pramatang pada peringkat ini dan isu yang dibangkitkan perlu diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.

Mahkamah menolak permohonan itu dan mencadangkan pihak pembelaan mengemukakan permohonan secara rasmi di Mahkamah Tinggi.

Mahkamah membenarkan Mohd Hasbie dan Muhammad Aliff Naif masing-masing diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin manakala Muhammad Sabda diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin.

Muhammad Aliff Naif turut dilarang oleh mahkamah daripada membuat kenyataan sub judice berkenaan kes itu sehingga kes selesai dan mahkamah menetapkan masing-masing pada 21, 22, dan 28 September untuk sebutan kes.

Turut hadir pada prosiding itu ialah Presiden Amanah Mohamad Sabu dan timbalannya Datuk Seri Salahuddin Ayub serta Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2022 @ 4:18 PM