ANGGOTA SPRM mengiring dua  lelaki yang menyamar sebagai pegawai kementerian di Mahkamah Majistret Putrajaya. FOTO Luqman Hakim Zubir
ANGGOTA SPRM mengiring dua lelaki yang menyamar sebagai pegawai kementerian di Mahkamah Majistret Putrajaya. FOTO Luqman Hakim Zubir
Mohd Husni Mohd Noor


DUA lelaki yang menyamar sebagai pegawai kementerian direman empat hari bermula hari ini di Mahkamah Majistret Putrajaya bagi membantu siasatan berhubung kes meminta suapan bernilai lebih RM75,000.

Perintah tahanan reman dikeluarkan Majistret Noraisyah Mohd Yusof selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sumber berkata, kedua-dua suspek masing-masing berusia 54 dan 25 tahun ditahan SPRM pada 4.40 petang di kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Awan Besar, Selangor.

Menurutnya, kedua-dua individu tersebut dipercayai bersubahat meminta suapan RM75,000 sebagai dorongan bagi mengeluarkan surat kelulusan kuota pekerja asing oleh kementerian tersebut.

Susulan penahanan itu, SPRM menyita wang tunai berjumlah RM25,000, dua telefon bimbit, sebuah komputer riba dan beberapa dokumen berkaitan daripada kedua-dua individu berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

“Kami masih memburu seorang lagi individu bagi membantu siasatan kes itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2019 @ 10:49 AM