LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Mohd Husni Mohd Noor


MAHKAMAH Majistret Putrajaya, hari ini membebaskan setiausaha politik kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, yang sebelum ini direman empat hari bagi membantu siasatan kerana disyaki menerima suapan berbentuk seutas jam dianggarkan bernilai RM28,000.

Perintah tamat reman dikeluarkan Majistret Noraisyah Mohd Yusof.

Noraisyah turut menetapkan lelaki berusia 47 tahun itu dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Lelaki berkenaan dibebaskan sehari lebih awal kerana tempoh remannya sepatutnya berakhir esok.

Media sebelum ini melaporkan setiausaha politik itu ditahan kira-kira jam 5 petang di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, Isnin lalu ketika hadir memberi keterangan.

Sumber dipetik berkata, siasatan mendapati lelaki itu dipercayai menerima jam tangan mewah sebagai dorongan bagi membolehkan sebuah syarikat pembangunan mendapatkan projek di bawah kelolaan kementerian.

Pada masa sama, media melaporkan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub menegaskan tidak akan campur tangan dalam siasatan SPRM berhubung penahanan setiausaha politiknya itu.

Berita berkaitan

Setiausaha politik menteri direman empat hari

[UPDATE] Salahuddin tak campur tangan siasatan SPRM

SPRM tahan Setiausaha Politik

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2019 @ 2:33 PM