GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Zanariah Abd Mutalib


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua lelaki kerana disyaki terbabit dalam politik wang bagi pemilihan pemimpin cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Kedah, semalam.

Sumber memberitahu, suspek pertama berusia 48 tahun ditahan pada pukul 12.20 tengah hari di restoran di Alor Setar, manakala suspek kedua berusia 46 tahun ditahan pada 3.25 petang di Plaza Tol Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Pendang.

Beliau berkata, kedua-dua suspek dikatakan meminta wang suapan berjumlah RM20,000 daripada seorang lelaki sebagai dorongan agar namanya yang sudah didaftarkan untuk pemilihan parti dikekalkan di dalam sistem, sekali gus layak untuk bertanding.

“Suspek terbabit sebelum itu memaklumkan kepada lelaki terbabit bahawa namanya dan beberapa individu lain lagi akan digugurkan daripada senarai nama calon, namun boleh dikekalkan jika membayar suapan berkenaan.

“Susulan penahanan itu, SPRM turut merampas wang tunai berjumlah RM10,000 daripada kedua-dua suspek.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Mohd Fauzi Mohamad ketika dihubungi mengesahkan mengenai penahanan itu.

“Kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Setar pagi ini bagi tujuan permohonan reman.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 September 2018 @ 8:52 AM