PEGAWAI SPRM membawa dua orang pegawai dan anggota JPJ yang disyaki menerima suapan daripada pengusaha syarikat pengangkutan lori sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan terhadap kesalahan lebih muatan untuk pertuduhan di Kompleks Mahkamah Shah Alam. FOTO Eizairi Shamsudin
PEGAWAI SPRM membawa dua orang pegawai dan anggota JPJ yang disyaki menerima suapan daripada pengusaha syarikat pengangkutan lori sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan terhadap kesalahan lebih muatan untuk pertuduhan di Kompleks Mahkamah Shah Alam. FOTO Eizairi Shamsudin
Norzamira Che Noh

Shah Alam: Ketua Penolong Pegawai Penguatkuasa dan seorang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor direman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan menerima rasuah bulanan berjumlah RM69,850 antara 2016 hingga 2018.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Fatina Amyra Abdul Jalil terhadap kedua-dua suspek berusia 44 dan 45 tahun di Mahkamah Majistret Shah Alam.

Terdahulu, kedua-dua tertuduh hadir di Kompleks Mahkamah pada 10.30 pagi memakai baju lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan bergari serta dikawal pegawai penguat kuasa SPRM.

Menurut sumber, kedua-dua suspek ditahan jam 5 petang semalam selepas hadir ke Pejabat SPRM Selangor.

Sumber memaklumkan, kedua-dua mereka berjawatan Pembantu Penguatkuasa Kanan dengan gred KP22 dan Ketua Ketua Penolong Pegawai Penguatkuasa bergred KP32 di JPJ Selangor menerima rasuah bulanan daripada pengusaha syarikat pengangkutan lori.

"Siasatan awal mendapati suspek bergred KP32 itu meminta dan menerima wang suapan secara bulanan antara RM100 hingga RM5,000 dengan jumlah keseluruhan RM69,850 sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan terhadap kesalahan lebih muatan dan lain-lain kesalahan jalan raya.

"Kesalahan itu dilakukan tertuduh selama tempoh dua tahun bermula 2016 hingga 2018," katanya.

Sumber turut memaklumkan, seorang lagi suspek menerima suapan secara bulanan bermula Disember 2017 hingga Mac 2018 dengan nilai keseluruhan RM4,000 untuk alasan sama.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Semalam, JPJ dalam kenyataan mengesahkan penahanan 32 anggotanya kerana disyaki terbabit rasuah dalam Operasi Sukat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut kenyataan itu, tindakan berkenaan hasil kerjasama rapat antara pihaknya dan SPRM memastikan jabatan berkenaan sentiasa bersih daripada sebarang elemen salah guna kuasa serta gejala rasuah mengakibatkan ketirisan hasil negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mac 2021 @ 3:06 PM