PEGAWAI kanan Tentera Darat (kanan) dan kontraktor (dua, kiri) direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah membabitkan kerja di kem di Selangor. FOTO Bernama
PEGAWAI kanan Tentera Darat (kanan) dan kontraktor (dua, kiri) direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah membabitkan kerja di kem di Selangor. FOTO Bernama
BERNAMA

Shah Alam: Dua individu termasuk seorang pegawai kanan Tentera Darat berpangkat Leftenan Kolonel direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes menerima rasuah berjumlah RM16,000 bagi kerja di kem di Selangor selama setahun bermula 2019.

Perintah reman hingga Khamis itu dikeluarkan Majistret Nur Faizah Abdul Sani di Mahkamah Majistret di sini, terhadap suspek berusia 47 tahun tersebut selepas menerima permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Khamis.

Sementara itu seorang lagi suspek iaitu kontraktor, 50, turut direman dengan jumlah hari yang sama.

Sumber SPRM berkata, kedua-dua mereka ditahan pada 4.30 petang semalam selepas hadir di Pejabat SPRM Selangor.

Katanya, pegawai kanan tentera tersebut adalah antara pegawai tertinggi di kem tersebut dan mempunyai kuasa meluluskan projek pembaikpulihan melibatkan kem itu.

"Siasatan awal mendapati suspek kontraktor itu mendapat projek di kem berkenaan. Pegawai tentera itu kemudiannya meminta dan menerima suapan berjumlah RM16,000 daripada syarikat-syarikat kontraktor menerusi bantuan kontraktor berkenaan," katanya.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 April 2021 @ 12:45 PM