Siti A’isyah Sukaimi

SEBANYAK 52,398 kes denggi dicatatkan di seluruh negara dengan Selangor mencatatkan jumlah kes tertinggi sepanjang tahun ini sehingga semalam.

Kementerian Kesihatan melaporkan, Selangor merekodkan 29,769 kes denggi, diikuti Kuala Lumpur (4,812), Johor (4,009), Pulau Pinang (3,554), Sabah (2,298) dan Perak (2,061).

“Pada masa sama, sebanyak 83 jumlah kes kematian direkodkan bermula 1 Januari hingga 2 September lalu,” katanya, hari ini.

Jumlah terkumpul kes denggi berkenaan dipaparkan menerusi laman web rasmi iDengue yang dikeluarkan Bilik Gerakan Denggi Kebangsaan, Pusat Kesediaan Krisis dan Tindak Balas (CPRC) Kementerian Kesihatan.

Sebelum ini, media melaporkan, Kementerian Kesihatan akan meneruskan kajian mengenai vaksin Dengvaxia yang dikatakan mampu mencegah virus denggi sebelum diguna pakai pengamal perubatan.

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye dilaporkan berkata, tiga perkara akan dititikberatkan sebelum vaksin baharu itu didaftarkan iaitu aspek keselamatan, keberkesanan dan kos dari segi ekonomi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 September 2018 @ 7:39 PM