LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Nurul Hidayah Bahaudin


SUSPEK kes buang bayi lelaki di Zon Kecemasan Hospital Selayang, Kuala Lumpur kelmarin, mendakwa panik menyebabkannya meninggalkan bayi berkenaan dalam mangkuk tandas terbabit.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, hasil siasatan mendapati suspek berusia 20 tahun itu mendakwa dia pergi ke hospital berkenaan untuk rawatan kerana sakit perut.

“Ketika menunggu giliran, suspek mendakwa perutnya memulas seakan mahu membuang air besar dan kemudian terus ke tandas wanita.

“Ketika membuang air besar, tiba-tiba dia merasakan ada sesuatu keluar dan melihat bayi bersama tali pusat masuk ke dalam mangkuk tandas berkenaan.

“Suspek yang kemudian panik terus keluar dari tandas dan membiarkan bayi berkenaan di dalam mangkuk tandas itu untuk memaklumkan bahawa dia sudah melahirkan bayi,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, hari ini.

Samsor berkata, ketika kejadian, ada seorang saksi melihat ada bayi di dalam mangkuk tandas berkenaan lalu memaklumkan kepada pengawal keselamatan berhubung perkara itu.

“Siasatan juga mendapati suspek mengaku melakukan hubungan seks dengan teman lelakinya sebelum ini.

“Suspek mendakwa tidak mengetahui dirinya mengandung sehingga Disember lalu apabila mengesyaki dia mengandung selepas tidak mengalami haid beberapa bulan.

“Malah, suspek memaklumkan tidak memberitahu perkara itu (dia mengandung) kepada sesiapa,” katanya.

Beliau berkata, bayi itu kini dalam keadaan stabil dan dipantau oleh pegawai perubatan, manakala suspek juga masih di hospital sama untuk rawatan lanjut.

“Kes ini akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut sebaik kertas siasatan lengkap.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana kerana menyembunyikan kelahiran,” katanya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan seorang wanita menemui bayi lelaki terbabit di dalam mangkuk tandas berkenaan kira-kira jam 3 petang, kelmarin.

Berita berkaitan

Tergamaknya kau!

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mac 2019 @ 5:52 PM