Safuri Kamarudin


LELAKI berusia 60-an ditahan kerana dipercayai terbabit dalam perbuatan sumbang mahram dengan anak tirinya sejak tahun lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Abd Fatah Abd Rahman berkata, lelaki itu ditahan di sebuah rumah di Jalan Jati, Felda Teloi Timur, Kuala Ketil semalam.

Beliau berkata, warga emas itu disyaki merogol anak tirinya berusia 19 tahun sejak Julai tahun lalu sehingga mengandung.

“Kita menahan lelaki itu selepas menerima aduan daripada mangsa.

“Mangsa mendakwa dirinya sudah dirogol sehingga mengandung,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, pada 2 Februari lalu mangsa bersama ibunya ke sebuah klinik di daerah itu untuk menerima rawatan kerana tidak sihat.

“Selepas menerima rawatan, doktor memaklumkan mangsa mengandung dan usia kandungannya ketika itu berusia 23 minggu.

“Namun begitu, mangsa tidak memaklumkan kepada ibunya kerana takut dimarahi,” katanya.

Abd Fatah berkata, tertekan dengan kejadian, mangsa yang trauma akhirnya mendedahkan kejadian itu kepada ibu angkatnya dan terus membuat laporan polis.

“Mangsa memaklumkan mulai Julai 2018 dia dirogol lelaki berkenaan.

“Suspek dipercayai mengugut sambil mengacu pisau ke pipinya sebelum merogol mangsa,” katanya.

Beliau berkata, gadis itu sudah pun melahirkan anak yang dikandungnya itu di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani, Jun lalu.

“Lelaki itu direman mulai hari ini selama tujuh hari untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 376 (B) Kanun Keseksaan kerana sumbang mahram,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2019 @ 4:18 PM