DUA ibu tunggal berusia 22 tahun dan 44 tahun ditahan AADK bersama tiga anak lelaki mereka berumur tiga tahun hingga 19 tahun di kediaman sewa mereka di Kampung Ngulang, Mata Ayer, pada Op Aduan 50/2017. FOTO ihsan AADK.
DUA ibu tunggal berusia 22 tahun dan 44 tahun ditahan AADK bersama tiga anak lelaki mereka berumur tiga tahun hingga 19 tahun di kediaman sewa mereka di Kampung Ngulang, Mata Ayer, pada Op Aduan 50/2017. FOTO ihsan AADK.
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


IBU tunggal berusia 22 tahun antara sembilan penagih yang ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Perlis selepas didapati positif methamphetamine pada Op Aduan 50/2017 berakhir 2.30 pagi hari ini.

Pengarah AADK Perlis Azizah Ahmad berkata, wanita terbabit ditahan 9 pagi semalam bersama seorang lagi ibu tunggal berusia 44 tahun di rumah sewa mereka di Kampung Ngulang, Mata Ayer, Kangar.

“Dia mengaku menagih syabu sejak berusia 13 tahun malah pernah dihantar ke Asrama Akhlak (Perempuan) Jitra, Kedah kerana kelakuan liarnya.

“Dia turut berkongsi faktor menjadi ibu tunggal di usia muda kerana bekas suaminya tidak mampu mengawal pergaulan liarnya selain mula berjinak kembali dengan syabu selepas berhenti beberapa tahun,” katanya.

Menurut Azizah, ibu tunggal muda itu mempunyai dua anak dengan yang berusia tiga tahun dijaganya manakala bayi berusia 10 bulan diserahkan kepada ibu saudaranya.

“Sementara itu, wanita berusia 44 tahun terbabit mengaku menghisap dadah akibat tekanan emosi selepas bercerai 10 tahun lalu.

“Manakala dua anak lelakinya yang berusia 18 tahun dan 19 tahun turut mengaku mula menghisap dadah bersama ibu mereka dan menggunakan wang hasil kerja kampung untuk mendapatkan bekalan dadah,” katanya.

Pada operasi itu, AADK turut menahan lima lelaki lain berusia 21 tahun hingga 30 tahun di lokasi berasingan di Beseri dan Kampung Belukar Lenga, Kangar.

“Semua yang ditahan dibawa ke pejabat AADK Perlis untuk tindakan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 6 (2)(c) dan 6 (2)(d) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Oktober 2017 @ 5:05 PM