Pegawai AADK menahan wanita dan anak gadisnya kerana menjadikan rumah sewa mereka di Beseri sebagai 'port' menghisap syabu. FOTO Ihsan AADK
Pegawai AADK menahan wanita dan anak gadisnya kerana menjadikan rumah sewa mereka di Beseri sebagai 'port' menghisap syabu. FOTO Ihsan AADK
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


WANITA dan anak perempuannya ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Perlis kerana menjadikan rumah sewa mereka sebagai ‘port’ menghisap syabu.

Mereka ditahan bersama seorang lagi wanita dan dua lelaki yang kesemunya berusia antara 28 hingga 35 tahun di kawasan perumahan di Beseri, Padang Besar, semalam.

Pengarah AADK Perlis, Azizah Ahmad berkata, pihaknya menyerbu rumah itu selepas menerima maklumat dan risikan mengenai kegiatan tidak bermoral oleh penghuni rumah.

“Wanita berusia 35 tahun bersama anak perempuannya berusia 18 tahun mengaku mula menghisap syabu selepas diajar rakan sejak 2015,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azizah berkata, seorang lagi wanita berusia 28 tahun pula pernah dipenjarakan sebanyak dua kali di Penjara Pokok Sena pada 2017 dan 2019 kerana penyalahgunaan dadah.

“Dia yang masih berstatus isteri orang mengaku terjebak penyalahgunaan dadah sejak 2014 selepas terpengaruh dengan suaminya yang juga penagih tegar syabu.

“Ketagihannya tidak dibendung apabila bersama rakan rapatnya menjadikan rumah itu sebagai port hisap dadah,” katanya.

Sementara itu, dalam operasi sama, AADK turut menahan lima lagi lelaki berusia lingkungan 30-an di sekitar daerah ini dan ujian air kencing masing-masing positif syabu.

Semua tahanan disiasat mengikut Seksyen 39A Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Februari 2020 @ 4:23 PM