DUA beradik yang ditahan di Kampung Behor Empiang selepas didapati positif dadah. FOTO ihsan AADK
DUA beradik yang ditahan di Kampung Behor Empiang selepas didapati positif dadah. FOTO ihsan AADK
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


LULUH hati pasangan suami isteri selepas mengetahui dua anak lelaki mereka terjebak dengan ketagihan syabu sejak di bangku sekolah menengah lagi.

Perkara itu terbongkar selepas anggota penguat kuasa Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Perlis menyerbu rumah keluarga terbabit di Kampung Behor Empiang dan menahan dua beradik berusia 19 dan 20 tahun itu menerusi Ops Cegah jam 11 pagi semalam.

Pengarah AADK Perlis, Khairul Anwar Ahmad berkata, dua beradik berkenaan antara 15 penagih berusia antara 19 hingga 50 tahun yang ditahan dalam operasi membabitkan beberapa kawasan panas di Kangar.

"Dua beradik terbabit mengaku menjadikan bilik mereka sebagai tempat menghisap syabu sejak tiga tahun lalu tanpa pengetahuan keluarga dan mula terjebak akibat pengaruh rakan sebaya.

"Ibu bapa mereka terkejut apabila anggota penguat kuasa memaklumkan anak mereka positif dadah sebelum keduanya kelihatan sugul dengan penangkapan itu.

"Pasangan itu juga sempat memaklumkan kepada anggota penguat kuasa mengenai kehairanan mereka kerana dua beradik itu sering berkurung di dalam bilik dan tidak bergaul bersama ahli keluarga lain," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Khairul Anwar berkata, dalam operasi sama pihaknya menahan dua pasang kekasih berusia antara 34 hingga 43 yang bersekedudukan di sebuah rumah di pangsapuri Sena.

"Mereka mendakwa tidak melakukan sebarang perhubungan tidak sah namun mengakui menghisap dadah di rumah berkenaan.

"Semua yang ditahan dibawa ke pejabat AADK Perlis dan tindakan diambil mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983 pindaan 1998 dan operasi berakhir sepenuhnya jam 2 pagi tadi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Jun 2020 @ 1:35 PM