GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Sabran Md Sani

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang bekas Penolong Jurutera Mekanikal kerana terbabit dalam pengubahan wang haram berjumlah RM180,000.

Sumber SPRM berkata, suspek berusia 44 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Johor kira-kira jam 11 pagi ini bagi membantu siasatan kes itu.

Katanya, siasatan mendapati suspek terbabit dalam transaksi penggunaan wang berjumlah lebih RM180,000 dipercayai hasil daripada aktiviti haram bagi tujuan pelbagai perbelanjaan pengubahsuaian rumahnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5 juta atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Pada Oktober lalu, suspek dihadapkan ke Mahkamah Seksyen 1, Melaka dan didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) 2009 kerana menerima suapan iaitu wang tunai dan barangan pembinaan rumah berjumlah hampir RM500,000 daripada kontraktor sebagai upah membantu mendapatkan kerja-kerja di Maktab Teknik PDRM Bakri, Muar.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor DatukAzmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2019 @ 5:27 PM