Laporan portal berita Harian Metro sebelum ini.
Laporan portal berita Harian Metro sebelum ini.
BERNAMA

HAMPIR dua bulan warga Ireland, Stephen Warde, 32, dilaporkan hilang, dia ditemui dalam sebuah masjid di Jalan Damai, Kuala Lumpur semalam dalam keadaan tidak terurus seperti gelandangan.

Warde melancong ke Malaysia pada November lalu dan kali terakhir dilihat di penginapannya di Mercu Summer Suite, Jalan Sultan Ismail ialah 28 Disember lalu sebelum dilaporkan hilang 1 Januari 2019.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Shaharuddin Abdullah berkata, lelaki yang menjalankan perniagaan atas talian itu ditemui di belakang tempat solat masjid dalam keadaan gelisah dan tidak terurus, berseluar panjang dan berbaju kemeja T kelabu dalam keadaan kotor.

Menurutnya, Warde ditemui lelaki tempatan di Masjid Ibnu Al-Masud, Jalan Damai 3 petang tanpa sebarang dokumen pengenalan diri dan dia tidak banyak bercakap, hanya dapat memberitahu berasal dari Ireland.

“Memandangkan dia tidak banyak bercakap dan tidak ada pengenalan diri, lelaki itu kemudiannya ‘google’ (untuk mencari) kedutaan Ireland yang kebetulan tidak jauh dari masjid itu dan terus hantar dia ke pejabat Kedutaan Ireland,” katanya.

Shaharuddin berkata, lelaki tempatan itu kerap ke masjid berkenaan tetapi ini kali pertama dia melihat warga Ireland itu.

Beliau berkata, Warde kini dimasukkan ke wad psikiatrik di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk menjalani rawatan.

Menurutnya, berdasarkan temubual dengan adik lelaki Warde yang dikenali sebagai Adrian, Warde tidak mengingati apa-apa pada masa sekarang.

“Warde tidak mengalami kecederaan luaran namun berubah susuk tubuh menjadi kurus kemungkinan disebabkan tidak cukup makan,” katanya.

Berikutan kehilangannya, ibu Warde, Marry Morrissey, 57, datang ke Malaysia bersama lima anaknya untuk mencari Warde dan mengikuti perkembangan kes itu lebih dekat.

Berita berkaitan

Lelaki warga Ireland hilang di ibu negara

Mana kau menghilang, Stephen?

[UPDATE] Stephen masih di negara ini

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2019 @ 10:28 PM