FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Zuhainy Zulkiffli


LEBIH 9,000 pengguna air di lapan lokasi sekitar Jalan Besar Simpang Ampat, Seberang Perai, akan terjejas berikutan gangguan bekalan air berjadual selama 12 jam bermula 1 hingga 2 Mac ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PBA Holdings Bhd (PBAHB) dan PBAPP, Datuk Ir Jaseni Maidinsa berkata, gangguan berkenaan berikutan terdapat kerja lencongan saluran paip bekalan air 600 milimeter (mm) sedia ada bagi projek pelebaran jalan oleh Jabatan Kerjaraya (JKR) di lintasan sungai berhampiran Taman Tempua.

Katanya, gangguan berkenaan akan bermula pada 10 malam, 1 Mac hingga 10 pagi hari berikutnya.

“Ia membabitkan pengguna di Taman Jentayu, Taman Jentayu Indah, Taman Cegar, Taman Keruing, Taman Tiong Emas, Taman Tempua serta dua sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Empat dan SMK Mutiara Impian.

“Sehubungan itu, pengguna di kawasan berkenaan diminta supaya menyimpan air yang mencukupi bagi kegunaan mereka,” katanya, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Februari 2019 @ 12:34 PM