GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zuhainy Zulkiffli


PENDUDUK di 18 lokasi bahagian pulau di Pulau Pinang dijangka mengalami gangguan bekalan air selama 12 jam bermula 9 pagi hingga 9 malam pada 12 Disember depan.

Ketua Pegawai Eksekutif PBA Holdings Bhd (PBAHB) dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP), Datuk Jaseni Maidinsa berkata, gangguan bekalan air terbabit berlaku akibat kerja pelencongan saluran paip bekalan air.

Katanya, penutupan sementara itu bagi memudahkan projek menaik taraf oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dari Batu Maung ke Jalan Sultan Azlan Shah.

"Bagi membolehkan kerja lencongan paip, PBAPP buat sementara waktu perlu menutup saluran paip bekalan air 600 milimeter (mm) keluli lembut yang sedia ada di kawasan itu.

"Dijangka 11,568 pengguna di sekitarnya bakal terjejas ketika gangguan bekalan air ini dan pengguna dinasihat supaya menyimpan air mencukupi bagi kegunaan sepanjang tempoh berkenaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kawasan terbabit ialah kawasan Perindustrian Diamond Valley, Jalan Permatang Damar Laut, Kampung Permatang Masjid, Taman Sri Bayan, Desa Wangsa dan Taman Sunway Cassia.

Juga Perumahan Kluster Fasa Satu dan Dua Permatang Damar Laut, Jalan Kekabu, Taman Kekabu, Kampung Permatang Damar Laut dan Kampung Permatang Tepi Laut.

Bagaimanapun, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTABPP) dan kawasan Zon Perindustrian Bebas (FIZ) Bayan Lepas tidak akan terjejas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 November 2017 @ 3:26 PM