Nurul Hidayah Bahaudin


POLIS Selangor sedang memburu lapan penjenayah melakukan samun di beberapa lokasi sekitar negeri berkenaan yang tular di media sosial, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, ketika ini, suspek dipercayai terbabit dalam sekurang-kurangnya enam kes samun di sekitar Klang Utara, Banting dan Serdang.

“Polis sememangnya sedang memburu suspek terbabit sebelum video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) ketika suspek melakukan kegiatan samun ini mulai tersebar menerusi media sosial.

“Sehubungan itu, kami meminta mana-mana pihak yang mempunyai sebarang maklumat mengenai suspek atau terlihat kelibat kumpulan lelaki bermotosikal dalam keadaan mencurigakan untuk segera menghubungi polis,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak dapat mengesahkan sama ada semua kes yang berlaku membabitkan suspek sama meskipun modus operandi dilakukan serta jumlah suspek hampir serupa.

“Ini kerana ada antara pergerakan suspek dikesan dalam jumlah antara tujuh, lapan dan enam lelaki namun kita masih menjalankan siasatan lanjut,” katanya.

Semalam, tiga kes samun dan cubaan samun dilaporkan berlaku membabitkan antara enam hingga lapan lelaki menaiki empat motosikal dan bersenjatakan parang dengan mencari sasaran yang berada di perkarangan rumah di kawasan sunyi.

Dalam kes pertama jam 2.15 petang semalam, seorang lelaki yang sedang meletakkan kereta di luar rumahnya di Jalan Sri Sarawak, Taman Sri Andalas, Klang, didatangi enam lelaki menaiki motosikal yang mengacukan parang sebelum melarikan wang tunai RM5,000, buku cek RM4,300, barang kemas RM2,000 dan telefon bimbit.

Tidak lama selepas itu, seorang wanita disamun ketika berada di hadapan rumahnya di Lorong Lengkongan, Kampung Raja Uda, Pelabuhan Klangoleh lapan lelaki bersenjatakan parang yang menaiki empat motosikal Yamaha 125Z.

Sekitar jam 4.05 petang semalam, seorang lelaki yang mahu keluar dari rumahnya di Bukit Kuchai, Bandar Kinrara cuba disamun tujuh lelaki menaiki empat motosikal yang sebelum itu berlegar-legar di sekitar kawasan kediamannya.

Namun, suspek gagal menyamun mangsa selepas dia masuk ke dalam rumah sebelum mengunci pintu manakala dua dari suspek bersenjatakan parang tidak berjaya memecahkan pintu rumah mangsa sebelum membocorkan tayar kereta dan melarikan diri.

Berita berkaitan

Warga emas jadi mangsa penjenayah bermotosikal

Nyaris ditetak penyamun [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Februari 2019 @ 6:24 PM