penjenayah toreh tayar kenderaan   sebelum melarikan diri.
penjenayah toreh tayar kenderaan sebelum melarikan diri.
Rabi ‘Atul ‘Adawiyah Ismail

Sungai Buloh: Seorang lelaki tergamam apabila diacukan pisau pemotong daging oleh dua penjenayah ketika berusaha membantu jirannya yang dirompak dua lelaki bermotosikal.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Faizal, 44, turut diserang menggunakan topi keledar ketika berada di hadapan rumahnya di Saujana Utama di sini.

Faizal berkata, kejadian berlaku ketika dia dan isteri sedang menonton televisyen di ruang tamu rumahnya sebelum terdengar bunyi bising dari kediaman jiran.

Menurutnya, dia segera meninjau ke luar rumah dan melihat terdapat beberapa motosikal berada di depan rumah jirannya itu.

“Saya sangkakan berlaku cubaan menculik kanak-kanak berikutan terdengar suara perempuan menjerit ‘anak aku’ berulang kali.

“Saya kemudian menjerit ke arah kumpulan itu dan pada masa sama, isteri membuka pintu pagar bagi membolehkan saya keluar memeriksa apa yang berlaku,” katanya.

Namun, sebaik pintu pagar automatik terbuka, dua lelaki meluru masuk ke perkarangan rumah dengan salah seorang daripadanya membawa pisau pemotong daging.

Katanya, lelaki itu mengugutnya supaya tidak masuk campur sambil mengacukan parang yang dibawa.

“Risau dengan keselamatan diri dan keluarga, saya segera masuk dalam rumah.

“Saya kemudian memberanikan diri keluar meninjau keadaan sebelum mendapati motosikal penjenayah sudah beredar dari lokasi kejadian. Malah, saya terkejut apabila mendapati tayar kenderaan saya ditoreh penjenayah,” katanya.

Menurutnya, jirannya mendakwa kehilangan rantai tangan emas akibat disamun penjenayah.

Faizal berkata, dia segera membuat laporan di Balai Polis Sungai Buloh di sini, berhubung kejadian itu.

Dalam kes berasingan di Sungai Buloh, seorang lelaki membuat laporan polis apabila dia nyaris ditetak, manakala jirannya cedera di lengan kanan akibat diserang sekumpulan lapan lelaki di Bandar Baru Sungai Buloh di sini, semalam.

Sumber berkata, cubaan samun itu berlaku jam 1.44 tengah hari sama, namun tiada kerugian dilaporkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mei 2017 @ 5:39 AM