Laporan portal berita Harian Metro 22 Februari lalu.
Laporan portal berita Harian Metro 22 Februari lalu.
Siraj Mohd Zaini


DUA lelaki dipercayai terbabit dengan kes jenayah bermotosikal yang melakukan samun di beberapa lokasi di Selangor sudah ditahan polis.

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin bagaimanapun enggan mendedahkan tarikh dan lokasi tangkapan dilakukan.

Menurutnya, ia bertujuan bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut dan mengesan baki suspek lain yang terbabit dengan kegiatan jenayah itu.

“Satu pasukan khas sudah ditubuhkan bagi menangani kes jenayah sekumpulan lelaki bermotosikal yang melakukan samun seperti tular di media sosial baru-baru ini.

“Dua lelaki itu sudah ditahan buat masa ini dan siasatan sedang dijalankan mengenai pembabitan mereka dalam kegiatan jenayah terbabit,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam hari ini.

Beliau berkata, polis memerlukan maklumat dan kerjasama daripada orang awam untuk membantu pihaknya mengesan kumpulan penjenayah berkenaan.

Katanya, polis percaya kumpulan itu bergerak dan menunggu peluang dan ruang jika terdapat kesempatan melakukan samun.

Pada 21 Februari lalu, tiga kes samun dan cubaan samun dilaporkan membabitkan antara enam, tujuh dan lapan lelaki dipercayai warga tempatan menaiki empat motosikal bersenjatakan parang.

Mereka mencari sasaran yang berada di pekarangan rumah di kawasan sunyi sebelum bertindak melakukan jenayah.

Dalam kes pertama jam 2.15 petang, mangsa lelaki yang meletakkan kereta di luar rumahnya di Jalan Sri Sarawak, Taman Sri Andalas, Klang, didatangi enam lelaki menaiki motosikal mengacukan parang sebelum melarikan wang tunai RM5,000, buku cek, barang kemas RM2,000 dan telefon bimbit.

Tidak lama selepas itu, wanita disamun ketika berada di depan rumahnya di Lorong Lengkongan, Kampung Raja Uda, Pelabuhan Klang oleh lapan lelaki bersenjatakan parang menaiki empat motosikal jenis Yamaha 125Z.

Pada jam 4.05 petang, lelaki yang mahu keluar dari rumahnya di Bukit Kuchai, Bandar Kinrara, cuba disamun tujuh lelaki menaiki empat motosikal yang sebelum itu berlegar-legar di sekitar kawasan rumahnya.

Namun, suspek terbabit gagal menyamun mangsa selepas dia melarikan diri masuk ke dalam rumah.

Berita berkaitan

[UPDATE] Polis giat buru penjenayah bermotosikal

Warga emas jadi mangsa penjenayah bermotosikal

Nyaris ditetak penyamun [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Februari 2019 @ 2:35 PM