IHSAN Agensi Antidadah Kebangsaan
IHSAN Agensi Antidadah Kebangsaan
Noor Hidayah Tanzizi


Seri Manjung : Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Manjung mengesan penagih dadah menjadikan labu sayong sebagai 'dapur' untuk menghisap ganja.

‘Kreativiti’ itu ditemui dalam serbuan sekitar Manjung, sejak Rabu lalu sehingga semalam, yang menyaksikan 15 penagih ditahan.

Pegawai AADK Manjung, Sharuddin Abdul Salam, berkata operasi di sekitar Pulau Pangkor dan Teluk Senangin turut membabitkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta polis.

"Semua yang ditahan bekerja sebagai nelayan berusia antara 19 hingga 56 tahun.

"Hasil ujian air kencing mendapati semua positif pelbagai jenis dadah," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Katanya, pihaknya turut merampas tiga kotak berisi air ketum yang sudah dicampurkan dengan kopi di sebuah rumah di Teluk Senangin.

"Kami juga menemui buku urusniaga jualan air ketum dan hasil pemeriksaan mendapati tuan rumah yang berusia 56 tahun juga positif dadah.

"Dipercayai rumah itu dijadikan 'pot' menghisap dadah di kawasan berkenaan dan semua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (APD) 1983," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mac 2017 @ 12:56 PM