ANTARA yang ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam Operasi Perdana di sekitar daerah Manjung.
ANTARA yang ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam Operasi Perdana di sekitar daerah Manjung.
Noor Hidayah Tanzizi


MANJUNG: Sebuah ladang sawit di Sitiawan, dikesan menjadi lokasi pengedaran dan penagihan dadah sejak dua minggu lalu diserbu Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Perak, kelmarin.

Lokasi berkenaan ibarat pasar yang menjadi tumpuan penagih dengan motosikal berulang-alik termasuk menjadi ‘teksi’ untuk membawa penagih mendapatkan bekalan serta melepaskan gian di kawasan berkenaan.

Pengarah AADK Perak Khairul Anwar Ahmad berkata, ladang yang dikenali sebagai ‘port obama’ itu dikesan dijadikan sarang penagihan terbaru golongan itu sejak dua minggu lalu.

Menurutnya, sarang berkenaan antara lokasi digempur dalam Operasi Perdana yang dijalankan bermula jam 6 pagi kelmarin sehingga 11 malam dengan bantuan penguat kuasa Majlis Perbandaran Manjung (MPM).

“AADK berjaya menahan 39 lelaki disyaki penagih dadah di ladang berkenaan yang dipercayai beroperasi bermula jam 7 pagi sehingga 11 malam dan aktif sejak dua minggu lalu.

“Selain itu, turut ditahan 19 lelaki dalam operasi yang dijalankan sekitar Seri Manjung, Lekir serta Pantai Remis,” katanya pada sidang media di Pejabat AADK Manjung, kelmarin.

Menurutnya, 58 individu yang ditahan itu berusia antara 17 hingga 53 tahun dan daripada jumlah itu, enam individu didapati melanggar syarat pengawasan AADK.

“Hasil saringan awal air kencing mendapati semua mereka positif opiat dan syabu. Turut dirampas tiga bungkus air ketum dianggarkan 1.5 liter.

“Semua individu berkenaan ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (APD) 1983 dan SubSeksyen 6(2) akta sama untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Khairul Anwar berkata, untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini, seramai 1,307 individu di seluruh negeri ini didapati positif dadah hasil saringan awal membabitkan 295 operasi AADK dan 135 operasi bersepadu bersama agensi lain.

Katanya, 286 aduan penyalahgunaan dadah diterima di Perak yang dicatatkan pada Januari sehingga Jun lalu.

Daripada jumlah itu, 168 aduan sudah diselesaikan manakala 118 aduan masih dalam tindakan pihaknya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2019 @ 5:35 AM