MAXIMUS ONGKILI
MAXIMUS ONGKILI
Rafiqah Dahali


ENAM pemimpin dari Sabah dilantik memenuhi dua jawatan menteri penuh dan empat timbalan menteri dalam Kabinet Persekutuan .

Dua pemimpin dilantik menteri penuh adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Panglima Dr Maximus Ongkili dan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Sementara itu, bagi jawatan timbalan menteri diisi oleh empat orang pemimpin dari Sabah adalah Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Abd Rahim Bakeri; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Arthur Joseph Kurup; Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Jonathan Yassin serta Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Dr Jeffrey G Kitingan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan senarai menteri kabinet hari ini berkata kerajaan Persekutuan serius dalam mengendalikan isu kepentingan Sabah dan Sarawak.

“Kerajaan juga serius untuk menangani isu-isu pembangunan dan kemajuan sosio-ekonomi rakyat di Sabah dan Sarawak.

“Kabinet saya akan memastikan semangat Perjanjian Malaysia 1963 atau MA 63 diterjemah dalam bentuk dasar dan program yang memberi manfaat secara langsung kepada penduduk di negeri Sabah dan Sarawak.

“Justeru, saya akan mewujudkan satu portfolio khusus mengenai Hal Ehwal Sabah dan Sarawak yang diketuai oleh seorang Menteri di Jabatan Perdana Menteri,” katanya di Pejabat Perdana Menteri, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mac 2020 @ 6:42 PM