Muhaamad Hafis Nawawi


LELAKI yang dikehendaki polis berkaitan kes curi Oktober tahun lalu patah tulang rusuk selepas terbabas dari motosikal ketika dikejar orang awam di Kampung Permatang Pasir di Bandar Baharu, semalam.

Dalam kejadian jam 6 petang itu, suspek berusia 36 tahun dan isterinya berusia 33 tahun yang menunggang motosikal melarikan diri selepas dikejar orang awam dari sebuah stesen minyak di Parit Buntar, Perak sehingga ke kampung terbabit.

Ketua Polis Daerah Bandar Baharu Deputi Superintendan Baruddin Wariso berkata, orang awam berusia 21 tahun bertindak mengejar pasangan terbabit selepas mengesyaki mereka mencuri.

Menurutnya, selepas terbabas, lelaki terbabit cuba melarikan diri namun gagal apabila ditahan orang ramai.

“Bagaimanapun melalui siasatan mendapati tidak berlaku sebarang kejadian curi dilakukan pasangan terbabit sewaktu mereka dikejar itu.

“Cuma melalui siasatan lanjut mendapati dia dikehendaki berkaitan kes curi pada Oktober tahun lalu sebelum dia dihantar ke Hospital Selama untuk menerima rawatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Baruddin berkata, hasil pemeriksaan x-ray mendapati suspek patah tulang rusuk akibat kejadian itu namun dalam keadaan stabil.

“Orang awam yang mengejar suspek juga sudah membuat laporan polis selepas mengesyaki suspek mencuri barang.

“Kita juga sedang mengesan isterinya yang menghilangkan diri selepas kejadian yang mana pasangan itu juga memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah,” katanya.

Beliau juga menasihatkan orang ramai tidak mengambil tindakan sendiri yang membahayakan mereka dan boleh menyebabkan berlaku kes jenayah lain.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan membabitkan kes kecurian tahun lalu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Februari 2019 @ 1:22 PM