Oleh Mohd Hasbi Sidek

Klang: Penjenayah maut ditembak manakala rakannya cedera di bahu selepas cuba melarikan diri daripada polis dalam kejadian di Bandar Bukit Tinggi, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian 6.45 pagi itu, suspek berusia 35 tahun maut di lokasi kejadian akibat terkena tembakan di rusuk kanan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Azman Abdul Razak, berkata suspek utama adalah rakannya yang memandu kenderaan yang juga berusia 35 tahun dan dikehendaki polis kerana terbabit dengan beberapa kejadian samun dan pecah rumah.

"Polis mengesan mereka di sekitar Bayu Perdana selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.

“Bagaimanapun, suspek cuba melarikan diri dengan melanggar kenderaan polis dan kereta milik orang awam.

"Selepas dikejar kira-kira lima kilometer, polis terpaksa melepaskan tembakan kerana berisiko membahayakan nyawa anggota bertugas dan orang ramai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Ogos 2015 @ 1:51 PM