PEGAWAI dan anggota polis menunjukkan basikal lajak yang disita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bandar Baharu, hari ini. FOTO Azahar Hashim
PEGAWAI dan anggota polis menunjukkan basikal lajak yang disita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bandar Baharu, hari ini. FOTO Azahar Hashim
Azahar Hashim


POLIS bertindak menyita 21 basikal lajak dipercayai ditinggalkan sekumpulan remaja bagi mengelak ditahan pihak berkuasa di Jalan Batu Hampar, Bandar Baharu, Sabtu lalu.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bandar Baharu menerima aduan awam mengenai kegiatan kumpulan remaja menunggang basikal secara berbahaya.

Ketuanya Deputi Superintendan Baruddin Wariso berkata, anggota trafik yang melakukan rondaan kemudian terserempak sekumpulan remaja berusia antara 12 hingga 15 tahun itu, namun mereka bertindak melarikan diri ke kawasan bukit.

“Kita menerima aduan orang awam mengenai sekumpulan remaja sedang menunggang basikal lajak secara berbahaya di kawasan berbukit itu sebelum anggota trafik terserempak dengan mereka berdekatan kawasan Bukit 300 Kaki.

“Sebaik menyedari kehadiran anggota polis, kumpulan remaja terbabit bertindak melarikan diri masuk ke dalam hutan berhampiran bagi mengelak ditahan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Baruddin berkata, ketika melarikan diri kumpulan remaja terbabit tidak sempat membawa basikal lajak mereka bersama dan ditinggal di kawasan itu.

“Semua basikal yang ditemui kemudian dibawa ke IPD Bandar Baharu untuk disita mengikut Peraturan LN 42 (1) Akta 166/59 Kesalahan Basikal Tiada Brek dan Loceng.

“Pihak polis menunggu pemilik basikal terbabit datang untuk menuntut kembali basikal milik mereka, namun sehingga hari ini tiada sesiapa atau ibu bapa remaja terbabit hadir,” katanya.

Katanya, lokasi kumpulan remaja terbabit menunggang basikal lajak amat berbahaya kerana kedudukannya yang berselekoh serta berbukit.

“Menunggang basikal lajak memang membahayakan mereka, selain turut boleh menyebabkan kecelakaan kepada pengguna jalan raya lain.

“Saya ingin menasihatkan ibu bapa agar sentiasa memantau kegiatan anak-anak mereka dan kejadian ini wajar dijadikan pengajaran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Julai 2018 @ 3:25 PM