ANGGOTA bomba mengikat mayat mangsa sebelum dibawa turun dari bukit Gua Musang. FOTO ihsan bomba.
ANGGOTA bomba mengikat mayat mangsa sebelum dibawa turun dari bukit Gua Musang. FOTO ihsan bomba.
Muhamaad Razis Ismail


SEORANG lelaki maut di puncak Bukit Gua Musang, Gua Musang, dipercayai akibat serangan jantung selepas mendaki bersama tujuh rakannya, petang semalam.

Dalam kejadian 6.15 petang itu, mangsa Zukifli Jusoh, 48, secara tiba-tiba pitam sebelum disahkan meninggal dunia.

Mayat dibawa turun dengan bantuan bomba sebelum diserahkan kepada polis dan dibawa ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang, Anuar Abas berkata, berdasarkan maklumat, mangsa dikatakan mendaki bukit itu bersama rakannya bermula 5 petang.

Katanya, rakan mangsa memaklumkan secara tiba-tiba mangsa terjatuh dan pitam sebelum mereka menghubungi bomba untuk mendapatkan bantuan.

“Kami menerima panggilan kecemasan pada 6.21 petang sebelum 21 anggota bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, bantuan pernafasan (CPR) diberikan kepada mangsa namun tiada tindak balas dan pegawai perubatan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba mengambil masa hampir tiga jam untuk membawa turun mangsa ke kaki bukit.

“Kami menggunakan teknik ikatan tali khas berikutan terpaksa berdepan kecerunan bukit sehingga 90 darjah.

“Kami berjaya tiba di kaki bukit pada 10.48 malam sebelum mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Februari 2019 @ 1:17 AM