Gudang dan rumah kongsi yang musnah dalam kebakaran di Tawau. FOTO Abdul Rahemang Taiming
Gudang dan rumah kongsi yang musnah dalam kebakaran di Tawau. FOTO Abdul Rahemang Taiming
Abdul Rahemang Taiming


SEBUAH gudang simpanan kayu, pejabat dan dua blok rumah kongsi 10 pintu menempatkan lebih 20 penghuni di Batu 5 Jalan Apas, Tawau musnah dalam kebakaran hari ini.

Kejadian jam 4 pagi di perumahan kongsi Syarikat Anjur Juara Sdn Bhd itu dipercayai didalangi seorang lelaki yang juga pekerja kilang terbabit sebelum dia melarikan diri menggunakan kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Vigo majikannya.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, pihaknya menerima panggilan jam 4.32 pagi membabitkan kebakaran di tiga tempat berlainan iaitu rumah kongsi, pejabat dan gudang.

Katanya, seorang penghuni rumah kongsi mendakwa melihat plastik hitam yang digunakan untuk menutup kayu sudah dibakar suspek.

“Pada jam 5.20 pagi, majikan syarikat berusia 48 tahun tiba di tempat kejadian untuk membantu memadamkan kebakaran. “Pada jam 7.20 pagi dalam kesibukan membantu memadamkan api, suspek masuk ke dalam Toyota Vigo yang ditinggalkan bersama kunci di dalam kenderaan lalu memecut laju melarikan diri.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota polis trafik berjaya menahan kenderaan itu di kawasan lampu isyarat Batu 3 pada jam 7.55 pagi,” katanya.

Fadil berkata, sebelum tangkapan dibuat, suspek dipercayai mengundurkan kenderaan sehingga melanggar Proton Saga milik wanita berusia 41 tahun.

“Siasatan lanjut mendapati suspek adalah penghuni rumah kongsi berkenaan dan menurut majikannya, suspek bekerja sejak empat tahun lalu namun berkelakuan kurang siuman sejak seminggu lalu dan direhatkan oleh majikan memandangkan dia menunjukkan tanda kemurungan.

“Motif kejadian masih dalam siasatan dan kemungkinan disebabkan suspek mengalami sakit mental,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Sharudy Delamin berkata, 13 anggota bersama dua jentera dan sebuah tangki air dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan jam 4.33 pagi.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian pihaknya mendapati sebuah kilang papan dengan keluasan 900 kaki persegi terbakar sepenuhnya selain dua blok rumah kongsi pekerja musnah.

“Kebakaran berjaya dikawal pada jam jam 6.12 pagi sebelum operasi ditamatkan jam 10 pagi.

“Tiada mangsa cedera sementara punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Februari 2019 @ 6:49 PM