Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menghadiri majlis rumah terbuka jamuan Tahun Baharu Cina 2019 di Segamat, Johor. FOTO Ahmad Ismail
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menghadiri majlis rumah terbuka jamuan Tahun Baharu Cina 2019 di Segamat, Johor. FOTO Ahmad Ismail
Ahmad Ismail


ORANG ramai yang meninggalkan premis untuk bercuti di musim perayaan dinasihatkan supaya tidak menampal notis pemberitahuan kerana tindakan itu boleh mengundang musibah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, amalan menampal notis di luar pintu utama premis perniagaan khususnya, seolah-olah mengundang kehadiran penjenayah untuk melakukan kegiatan pecah masuk premis.

“Lebih berisiko apabila pemilik premis lengkap meletakkan tempoh masa bercuti dan tarikh mereka kembali semula beroperasi. Ini secara jelas boleh dilihat sesiapa yang melalui bahagian hadapan premis itu,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Jamuan Tahun Baharu Cina 2019 di Taman Pang Jong Park, Simpang Jabi, Segamat, Johor tadi.

Turut hadir, Tuan Yang Terutama (TYT) di-Pertua Negeri Melaka, Tun Datuk Seri Utama Mohd Khalil Yaakob; Ketua Masyarakat Cina Segamat, Tan Sri Tan Beng Tong; Ketua Polis Segamat, Superintendan Raub Selamat dan Timbalan Ketua Polis Segamat, Deputi Superintendan Mohd Noor Ariffin.

Beliau berkata, pemilik premis sebaiknya boleh membuat pemberitahuan cuti menggunakan peralatan telekomunikasi canggih kepada pelanggan tetap atau kenalan bagi mengurangkan risiko ketiadaan mereka diketahui pihak tidak bertanggungjawab.

“Pada masa sama, saya turut kesal dengan sikap kurangnya kesedaran orang awam berhubung pengisian borang maklum balas untuk memberitahu mereka meninggalkan kediaman ketika bercuti di musim perayaan.

“Sedangkan borang berkenaan mudah diperolehi di mana-mana balai polis berhampiran di seluruh negara.

“Pengisian borang meninggalkan premis kediaman dan perniagaan itu amat penting kerana anggota polis akan mempertingkatkan rondaan di lokasi terbabit selain jika berlaku sesuatu kejadian tidak diingini, mudah untuk polis melakukan siasatan dalam tempoh yang singkat,” katanya.

Selain itu, beliau turut menasihati pengguna jalan raya supaya berhati-hati dan mendapatkan rehat mencukupi sebelum memandu ketika dalam musim cuti panjang perayaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Februari 2019 @ 3:22 PM