Shahrinnahar Latib


LELAKI warga emas maut selepas Perodua Myvi dipandunya bertembung dengan kereta lain di Kilometer 51 Jalan Pekan-Rompin berdekatan Kampung Serun, Pekan, semalam.

Dalam kejadian pada 4.15 petang, Ismail Abas, 72, dari Kampung Kawah, Sungai Lembing, Kuantan maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Manakala anaknya, Siti Zuraidah, 31, turut cedera parah dan menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.

Pemandu Nissan Sentra, Mansor Ibrahim, 57, yang juga Pembantu Makmal Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Isap kini dirawat di HTAA kerana patah peha dan tumit kaki.

Ketua Polis Daerah Pekan Superintendan Amran Sidek berkata, kejadian berlaku ketika Perodua Myvi berkenaan dalam perjalanan dari Rompin menghala ke Pekan, manakala Nissan Sentra daripada arah bertentangan.

"Sebaik tiba di tempat kejadian, Ismail yang memandu kereta berkenaan dikatakan hilang kawalan selepas melalui selekoh sebelum memasuki laluan bertentangan.

“Akibat jarak yang terlalu dekat, Mansor yang memandu Nissan Sentra gagal mengelak lalu kedua-dua kenderaan berkenaan bertembung sebelum terbabas ke bahu jalan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, berikutan kejadian itu, Ismail yang bekerja sendiri meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Pekan untuk bedah siasat.

“Sampel darah mangsa juga diambil bagi ujian toksikologi dan saksi bebas diminta untuk membantu siasatan. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Siasatan awal menunjukkan punca kejadian disebabkan pemandu Perodua Myvi dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sehingga menyebabkan kemalangan,” katanya.

Sementara itu, dalam video kemalangan yang tular di media sosial sejak semalam mendapati Perodua Myvi terbabit secara tiba-tiba memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Nissan Sentra.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Jun 2018 @ 12:08 PM
ORANG ramai cuba membantu mangsa dalam Perodua Myvi yang terbabit dalam kemalangan dengan Nissan Sentra (gambar kanan) di Kilometer 51 Jalan Pekan-Rompin berdekatan Kampung Serun, Pekan, semalam. FOTO Ihsan Pembaca
ORANG ramai cuba membantu mangsa dalam Perodua Myvi yang terbabit dalam kemalangan dengan Nissan Sentra (gambar kanan) di Kilometer 51 Jalan Pekan-Rompin berdekatan Kampung Serun, Pekan, semalam. FOTO Ihsan Pembaca