ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam Perodua Kancil dengan bantuan kren selepas terbabit dalam kemalangan dengan treler di Kilometer 17 Jalan Pekan-Rompin berhampiran Kampung Cenderawasih, Pekan, hari ini. FOTO ihsan bomba.
ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam Perodua Kancil dengan bantuan kren selepas terbabit dalam kemalangan dengan treler di Kilometer 17 Jalan Pekan-Rompin berhampiran Kampung Cenderawasih, Pekan, hari ini. FOTO ihsan bomba.
Shahrinnahar Latib


WANITA maut selepas kereta dinaikinya dirempuh treler membawa muatan batu kelikir sebelum diseret sejauh 60 meter di Kilometer (KM) 17 Jalan Pekan-Rompin, dekat Kampung Cenderawasih, Pekan, hari ini.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Amran Sidek berkata, dalam kejadian 4 petang itu, mangsa Hasiah Yaakob, 61, dari Kampung Cenderawasih, meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, treler dipandu Arif Che Hassan, 50, dikatakan dalam perjalanan dari arah Kuantan menghala ke Pasir Gudang, Johor dengan membawa muatan batu kelikir.

“Bagaimanapun, ketika treler hendak memotong kereta Perodua Kancil dipandu Saibi Salleh, 75, tiba-tiba kereta itu membelok masuk ke simpang sebelah kanan iaitu mahu menghala ke Kampung Cenderawasih.

“Pemandu treler berkenaan sempat menekan brek, namun terlanggar di sebelah kanan kereta itu yang turut dinaiki Hasiah.

“Akibat pelanggaran itu, Perodua Kancil berkenaan melekat di bahagian hadapan treler sebelum diseret sejauh 60 meter,” katanya di dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, akibat kejadian itu, Hasiah maut di tempat kejadian manakala pemandu Perodua Kancil yang juga suami mangsa patah kaki kanan.

Difahamkan, anggota bomba terpaksa menggunakan bantuan kren dan jengkaut untuk mengangkat treler berkenaan bagi mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit di bawah kenderaan berat itu.

Amran berkata, mangsa yang maut dihantar ke Hospital Pekan untuk proses bedah siasat dan manakala pemandu treler berkenaan tidak cedera.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes berkenaan boleh menghubungi balai polis berdekatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Disember 2018 @ 9:37 PM