NOR Hotijah bersama biri-biri kesayangannya yang diberikan nama Ecah. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
NOR Hotijah bersama biri-biri kesayangannya yang diberikan nama Ecah. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Noor Hidayah Tanzizi


“SAYA menjalani rutin kerja yang ceria setiap hari kerana ‘jiwa’ berada di kandang kambing, malah lebih menggembirakan apabila ditemani Ecah,” kata Nor Hotijah Shahbudin, 33.

Ecah, anak biri-biri yang kini berusia setahun setengah ternakan paling disayangi, cukup manja serta menghiburkan hati, malah Nor Hotijah melayan haiwan itu seperti ‘anak’ sendiri dengan membawanya meronda dengan motosikal selain turut dipakaikan lampin pakai buang jika dibawa pulang ke rumah.

Wanita yang masih bujang itu boleh dijadikan ikon dan memberi inspirasi kepada yang lain kerana walaupun hanya berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan bertubuh kecil, dia membuktikan mampu menjadi usahawan berjaya bukan saja dalam bidang penternakan, malah mengusahakan tanaman jagung.

Dia menceburi bidang penternakan kambing dan biri-biri melalui projek Integrasi Tanaman-Ternakan dan Pusat Pemprosesan Silaj di Kompleks Pertanian Titi Gantong, Bota, yang memfokuskan pemprosesan makanan kambing iaitu silaj yang dihasilkan daripada batang jagung.

Menurutnya, sehingga kini dia sudah mempunyai 115 kambing daripada jenis kampung, Jamnapari, Anglo Nubian dan Boer Cross dan 19 biri-biri yang dibelanya sejak dua tahun lalu.

“Saya anggap haiwan ini sebagai terapi diri kerana ia dapat memberikan ketenangan dan menghilangkan tekanan terutama melihat ‘Ecah’ yang saya jaga sejak berusia empat hari.

“Ecah dilayan seperti anak, diberikan minum menggunakan botol dan dibawa meronda dengan motosikal, malah saya pernah bawa biri-biri itu pulang ke rumah untuk memandikannya dan jika di rumah saya akan pakaikan lampin pakai buang kerana haiwan itu kerap buang najis.

“Ecah boleh dianggap sebagai ‘penyambut tetamu’ di kandang ini dan saya tidak akan menjualnya kerana dia sangat istimewa,” katanya yang mengeluarkan modal pertama sebanyak RM3,800 bagi memulakan aktiviti itu.

Nor Hotijah berkata, selain keluarga dan rakan yang sentiasa menyokongnya, dia turut mendapat bantuan dan sokongan daripada Jabatan Pertanian serta mahu membuktikan yang kaum wanita juga boleh berjaya dalam bidang itu, sama seperti lelaki.

Katanya, kerana terlalu minat dengan haiwan ternakan itu dia sanggup menghabiskan masa di kandang untuk belajar dan mengenal haiwan itu sehingga ada yang mengatakan dia hanya membuang masa.

“Saya tak pernah ambil kisah apa orang nak cakap kerana hasilnya kita juga yang dapat lagipun pertanian dan ternakan memang minat saya sehingga ada rakan rapat di sini mengusik saya dengan menggelarkan saya ‘Tijah kambing’.

“Projek ini diusahakan bersama dua lagi rakan tetapi untuk semua urusan di kandang ini diuruskan sepenuhnya oleh saya dan akan memulakan kerja seawal jam 7.30 pagi bagi memastikan haiwan peliharaan dijaga dengan sebaiknya,” katanya yang turut dibantu pekerja.

Katanya, mereka memproses silaj yang dihasilkan daripada batang jagung yang dicampur dengan molases (gula merah) sebelum diperam.

“Batang jagung daripada ladang kami dibawa ke sini diproses untuk dijadikan silaj kerana daripada membazir lebih baik ia digunakan dan selain batang jagung segar ternakan di sini juga makan silaj yang dihasilkan.

“Silaj boleh tahan sehingga enam bulan dan kaedah penyimpanannya perlu betul dan setakat ini pasarannya di sekitar negeri ini dan Kedah dengan pengeluaran sebulan disasarkan 20 tan metrik,” katanya yang turut menghasilkan baja organik proses dan susu kambing.

Sementara itu, Pegawai Pertanian Bahagian Pembangunan Industri Tanaman Jabatan Pertanian, Siti Ruhaida Che Ani berkata, tapak berkenaan untuk pusat pemprosesan silaj dan haiwan ternakan itu juga boleh dianggap sebagai testimoni sekali gus dapat menjana pendapatan sampingan.

Menurutnya yang juga Pengurus Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TPKM) Titi Gantong, aspek kebersihan sangat diutamakan, malah kandang itu juga turut dijadikan sebagai tarikan baharu dan pihaknya turut berhasrat menjadikan TPKM Titi Gantong sebagai agro pelancongan di Perak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Februari 2019 @ 12:48 PM