Ismail menyiapkan songkok yang ditempah pelanggan. FOTO Zulkepli Osman
Ismail menyiapkan songkok yang ditempah pelanggan. FOTO Zulkepli Osman
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


JAHITAN halus penuh teliti ditambah penggunaan bahan berkualiti menjadikan songkok Gundal pilihan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah sejak awal 90-an lagi apabila sering ditempah baginda setiap tahun.

Pengusaha songkok Gundal, Ismail Ahmad Gundal, 59, berkata, kemahiran pembuatan songkok dipelajari dan diwarisi daripada arwah bapanya, Ahmad Gundal Md Chontor yang mana hingga ke hari ini ia mendapat permintaan yang tidak putus termasuk kerabat Istana Pahang.

“Boleh dikatakan setiap tahun pembantu baginda Sultan Pahang datang menempah, kadang kala dua tiga songkok ditempah,” katanya baru-baru ini.

Menceritakan pembuatan songkok yang kini dipakai Al-Sultan Abdullah, Ismail berkata, baginda memakai songkok bersaiz 22 1/4 dengan ketinggian 10.16 sentimeter.

Katanya, penggunaan kain dan barangan asas pembuatan songkok Al-Sultan Abdullah menggunakan bahan berkualiti tinggi.

“Ia menggunakan baldu Crown iaitu baldu gred terbaik yang mana kebiasaan kita jual kepada orang ramai pada harga RM210.

“Kebiasaan pegawai baginda hadir membuat tempahan dan dalam tempoh seminggu ia siap,” katanya.

Anak kelahiran Kampung Razali di sini, memaklumkan selain Al-Sultan Abdullah, anakanda dan kerabat baginda lain turut menempah songkok Gundal.

Katanya, perbezaan pembuatan songkok Gundal dan songkok di pasaran adalah dari segi jahitan dalam songkok yang mana songkok dikeluarkannya menggunakan jahitan lebih halus.

“Setiap songkok dijahit satu persatu manakala songkok di pasaran dijahit di kilang dengan satu mesin boleh menjahit 10 songkok dalam satu masa,” katanya.

Bapa sembilan anak itu berkata, dia turut dibantu isteri Norizan Mamat, 52, dan tiga anak saudaranya di premis mereka di Jalan Besar, Kuantan.

“Saya mula belajar membuat songkok pada 1978 daripada arwah ayah...ia memerlukan ketekunan dan minat yang mendalam untuk membuat songkok,” katanya.

Katanya, Songkok Gundal yang beroperasi menggunakan nama premis Toko Sinar Maju beroperasi jam 9 pagi hingga 6 petang setiap hari dan ditutup pada Ahad.

Beliau berkata, Songkok Gundal dijual pada harga RM39 hingga RM210 dan harganya berubah bergantung kepada tempahan yang diinginkan pelanggan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 January 2019 @ 1:28 PM