NORWAHIDAH menunjukkan songkok yang siap di kedainya di Kawasan Industri Kecil Sederhana Taman Seri Duyong, Duyong.
NORWAHIDAH menunjukkan songkok yang siap di kedainya di Kawasan Industri Kecil Sederhana Taman Seri Duyong, Duyong.
Mohamad Yatim Latip


Melaka: Meskipun hanya dipakai pada majlis tertentu namun seorang wanita sanggup melepaskan jawatan sebagai juruteknik sebuah kilang elektronik demi menceburi bidang pembuatan songkok sejak tujuh tahun lalu kerana menganggap industri berkenaan memiliki potensi pada masa depan.

Walaupun tindakan Norwahidah Yaakob, 34, menceburi bidang pembuatan songkok dianggap janggal, namun keputusan dibuatnya ternyata membuahkan hasil.

Menurut Norwahidah, minat dalam pembuatan songkok muncul selepas mendapati permintaan terhadap produk warisan Melayu itu semakin meningkat dari semasa ke semasa dan perniagaan seumpamanya jauh lebih lumayan dan terjamin.

“Saya mengambil masa kira-kira setahun sebelum memutuskan untuk mengubah kerjaya walaupun pekerjaan sebelum ini agak selesa.

“Memandangkan ibu dan bapa mentua membuat songkok sejak sekian lama, maka kelebihan itu dimanfaatkan dengan mempelajari cara serta teknik pembuatan songkok,” katanya yang ditemui di premis perniagaannya di Kawasan Industri Kecil Sederhana (IKS) Taman Seri Duyong, Duyong, di sini.

Norwahidah berkata, hasratnya menceburi perniagaan itu turut mendapat sokongan serta dorongan suaminya Zulkiflee Ujang, 36, dengan modal kira-kira RM5,000.

Menurutnya, dia mula membeli mesin jahit industri dan bahan membuat songkok seperti fabrik baldu buatan Korea dan juga polan iaitu lilitan kertas bahagian dalam di keliling songkok yang ditempah dari Indonesia.

“Pada peringkat awal, saya membuat songkok di rumah saja, tetapi lama-kelamaan perniagaan ini berkembang menyebabkan saya menyewa sebuah premis di IKS Taman Seri Duyong, awal tahun ini demi menghasilkan lebih banyak kuantiti di samping keselesaan.

“Walaupun berpindah ke tempat lebih besar dan selesa, tetapi pembuatan di rumah tetap diteruskan dengan mengupah pembantu dari proses awal hingga akhir.

“Mula-mula masa buat songkok memang sukar kerana banyak proses perlu dilakukan memandangkan semuanya terpaksa dibuat sendiri, tetapi selepas mempunyai pembantu, lebih memudahkan,” katanya.

Songkok dihasilkan Norwahidah terdiri tiga jenis iaitu songkok baldu berkualiti (songkok tinggi) menggunakan baldu Korea berukuran 12.7 sentimeter, Sultan (antara 7.62 hingga lapan sentimeter) dan songkok biasa rata.

Katanya, dia mampu menghasilkan 20 songkok sehari dan harganya antara RM20 (jenis biasa) hingga RM100.

“Ada juga tempahan khas untuk majlis perkahwinan, kumpulan tarian tradisional dan juga perbarisan untuk program tertentu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 September 2017 @ 10:05 AM