MOHD Shukor (kiri) menyeka air mata ketika lawatan Al Sultan Abdullah ke kediaman mereka. FOTO Amin Ridzuan Ishak
MOHD Shukor (kiri) menyeka air mata ketika lawatan Al Sultan Abdullah ke kediaman mereka. FOTO Amin Ridzuan Ishak
Amin Ridzuan Ishak


“EMPAT burung peliharaan arwah anak tidak mahu terbang jauh apabila dibawa ke kuburnya semalam dan berpusing sekitar batu nesannya sebelum terbang ke pokok dan berkicau kuat.

“Mungkin petanda mengenai sikap arwah yang sepanjang hidupnya menyayangi haiwan dan sanggup membina mini zoo di belakang rumah,” kata Mohd Shukor Ahmad Gundal, 56, bapa kepada Mohammad Faris, 16, yang lemas ketika memancing di Sungai Pahang berdekatan Kampung Tanjung Medang, dekat Pekan, Ahad lalu.

Mohd Shukor berkata demikian ketika ditemui selepas menerima lawatan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah di kediamannya di Perumahan Dato Shahbandar, hari ini.

Katanya, mereka sekeluarga reda dengan kejadian menimpa anaknya itu dan menganggapnya sebagai takdir yang perlu diterima sebaiknya sebagai hamba Allah.

“Itu jasanya terakhir dan arwah mengorbankan dirinya untuk menyelamatkan bapa saudaranya (Abdul Rahim Abdul Manaf)... Ia satu perbuatan mulia seperti dinyatakan dalam al-Quran,” katanya.

Sementara itu, Abdul Rahim, 19, ketika menceritakan semula kejadian kira-kira jam 11 lagi itu berkata, dia dan Mohammad Faris sedang memancing udang di sungai berkenaan bersama beberapa ahli keluarga lain.

Katanya, mereka berdua ke kawasan berpasir untuk melepaskan mata kail miliknya yang tersangkut pada pancing Mohammad Faris dan dia secara tiba-tiba terpijak pasir jerlus menyebabkannya terjatuh dalam sungai.

“Faris yang melihat saya yang terkapai-kapai terus memberikan bantuan namun dia pun terjerlus ke dalam sungai... Kami yang tidak tahu berenang menjerit meminta bantuan.

“Saya beberapa kali tenggelam timbul dan banyak terminum air sungai, saya sudah reda sekiranya ditakdirkan ‘pergi’... Saya mengucapkan kalimah syahadah dan pada masa sama cuba menyelamatkan diri serta Faris.

“Tiba-tiba Faris menyelam dan mengangkat saya sebelum menolak menggunakan bahunya menyebabkan saya tercampak ke tebing sungai, selepas itu Faris tenggelam,” katanya.

Dalam pada itu, Al Sultan Abdullah bertitah, papan tanda amaran perlu didirikan di kolam dan sungai berisiko sebagai peringatan kepada orang ramai mengenai sebarang risiko.

“Walaupun kejadian seperti ini adalah ketentuan Allah namun langkah berjaga-jaga boleh dilakukan,” titah baginda yang turut menyerahkan sumbangan kepada keluarga mangsa.

Berita berkaitan

'Remaja lemas di pasir jerlus'

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 January 2019 @ 6:16 PM