MAYAT lelaki ditemui terapung di Sungai Lokan, BUkit Mertajam. FOTO Ihsan PDRM
MAYAT lelaki ditemui terapung di Sungai Lokan, BUkit Mertajam. FOTO Ihsan PDRM
Hadzlihady Hassan


KURANG 24 jam selepas membuat laporan polis kehilangan suami, seorang wanita menerima berita memilukan apabila suaminya itu ditemui mati di Sungai Lokan, Bukit Mertajam, hari ini.

Mayat lelaki berusia 33 tahun itu ditemui kira-kira 3 petang, hari ini, dalam keadaan terlentang dengan berpakaian lengkap terapung di sungai itu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, isteri mangsa membuat laporan 7.16 malam semalam selepas suaminya tidak pulang ke rumah mereka di Butterworth.

Menurutnya, dalam laporan itu isterinya mendakwa lelaki berkenaan keluar rumah pada 1 pagi kerana mahu minum bersama rakan di restoran.

“Lelaki terbabit yang bekerja sebagai jurujual memandu Toyota Hilux milik syarikatnya seorang diri ketika keluar rumah.

“Bagaimanapun, isterinya hairan kerana suaminya masih tidak pulang sehingga 5.30 pagi dan dia cuba menghubungi telefon bimbit lelaki itu, namun ia tidak aktif,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nik Ros Azhan berkata, wanita terbabit ada menghubungi rakan suaminya namun dia dimaklumkan yang mereka semua pulang ke rumah masing-masing selepas selesai makan dan minum di restoran di Jalan Kampung Baru.

“Mayat lelaki itu ditemui terapung di Sungai Lokan 3.02 minit petang, hari ini dan isterinya sudah membuat pengecaman di hospital.

“Mayat dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat dan polis masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti punca kematian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mei 2019 @ 7:18 PM