Shamsul Munir Safini


PENGETUA sebuah sekolah menangis dan terpaksa ditenangkan isterinya selepas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal ke atas empat pelajar termasuk seorang murid sekolah rendah, tahun lalu.

Tertuduh, Zainuren Mohamed, 55, sebelum itu minta dibicarakan bagi keempat-empat pertuduhan di dua prosiding berlainan di sini.

Tertuduh didakwa atas dua pertuduhan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 di hadapan Hakim Noor Aini Yusof sebelum dua lagi pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norhayati Mohamad Yunus itu mengikut seksyen yang sama.

Berdasarkan kertas pertuduhan berasingan itu, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap empat pelajar lelaki berusia antara 11 hingga 14 tahun.

Zainuren didakwa melakukan kesalahan itu di bilik khas pengetua dan asrama di sebuah sekolah model khas di Butterworth pada jam 4 petang hingga 11.40 malam antara 6 April dan 10 Oktober 2018.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan.

Peguam tertuduh, E Gnasegaran memohon mahkamah mengurangkan ikat jamin tertuduh selepas anak guamnya memberikan kerjasama penuh kepada polis dan mahkamah.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin berjumlah RM54,000 berserta empat penjamin.

Kes akan disebut semula pada 25 Februari ini sementara menunggu serahan dokumen dan pengurusan kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Haresh Prakash Somiah dan Kamaliza Md Zain.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 January 2019 @ 2:56 PM