POLIS sedang melakukan pemeriksaan ketika Op Kepala Batu di bawah Operasi Khas Jihad Dadah di sekitar daerah Kemaman. FOTO IHSAN POLIS
POLIS sedang melakukan pemeriksaan ketika Op Kepala Batu di bawah Operasi Khas Jihad Dadah di sekitar daerah Kemaman. FOTO IHSAN POLIS
Zatul Iffah Zolkiply


Chukai: Tiada lesen memandu dan topi keledar antara kesalahan paling tinggi dikesan dalam Op Kepala Batu menerusi Operasi Khas Jihad Dadah di sekitar daerah Kemaman, semalam.

Sebanyak 65 saman dikeluarkan terhadap pemandu kereta dan penunggang motosikal yang tidak mempunyai lesen dan 27 saman membabitkan kesalahan tidak memakai topi keledar dalam operasi di kawasan Jalan Paya Berenjut, Kampung Bangol Permai dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bangol.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, dua kesalahan itu dikesan daripada 154 saman dikeluarkan dengan 133 saman membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal.

Beliau berkata, kesalahan lain dikesan terhadap penunggang motosikal adalah lesen kenderaan motor (16 kes), nombor pendaftaran (13 kes), cermin sisi dan aksesori masing-masing sembilan kes, tidak mempamer lesen P dan L (empat kes) , insuran (empat kes) dan brek (satu kes).

"Secara keseluruhan, kami mengeluarkan 154 saman membabitkan pelbagai kesalahan trafik hasil pemeriksaan terhadap 190 kenderaan terdiri daripada 150 motosikal, 35 kereta, tiga kenderaan pacuan empat roda dan dua van membabitkan 210 individu berusia antara 18 hingga 50 tahun.

"Daripada 154 saman dikeluarkan, 21 saman dikeluarkan terhadap pemandu kenderaan membabitkan 15 kesalahan tiada lesen memandu, tidak memakai tali pinggang (tiga saman) dan tiada insuran (dua kes).

"Kami berjaya menahan seorang lelaki berusia 22 tahun yang dikehendaki dalam kes mengikut Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Hanyan berkata, operasi sama akan dijalankan bagi memastikan penduduk di daerah ini mematuhi undang-undang lalu lintas.

Beliau berharap masyarakat dapat mematuhi undang-undang ditetapkan kerana soal keselamatan tidak boleh dipandang remeh.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Oktober 2021 @ 2:32 PM