Izlaily Nurul Ain Hussein


SEORANG pemilik spa didenda RM175,000 atau 15 bulan penjara oleh Mahkamah Sesyen Imigresen, Depoh Pekan Nenas, Pontian, Johor, hari ini atas tuduhan membenarkan pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk bekerja di negara ini.

Hakim Salawati Djambari menjatuhkan hukuman itu selepas Tan Yap Mau, 53, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah itu.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa membenarkan 35 orang imigran atau PATI berada dalam premisnya untuk bekerja.

Bagi perbuatan yang dilakukan di spa miliknya di sebuah hotel bertaraf lima bintang di Masai, Johor Bahru itu, dia didakwa mengikut Seksyen 55E(1) Akta Imigresen 1959/63 yang membawa hukuman denda sehingga RM30,000 atau penjara maksimum 12 bulan atau kedua-duanya bagi setiap imigran haram, jika sabit kesalahan.

Selain Tan, di mahkamah sama, empat lelaki warga tempatan, seorang wanita dan seorang lelaki Indonesia turut dijatuhkan hukuman atas pertuduhan mengikut seksyen yang sama, hari ini.

Pui Houn Peng, 45, dan Shamsudin Harun, 44, masing-masing dikenakan denda RM30,000 atau lapan bulan penjara; Ooi Hean Khoon, 46 (denda RM45,000 atau lapan bulan penjara) dan Zainal Abidin Siwar, 53 (denda RM25,000 atau enam bulan penjara).

Nazreena Muhamed Sultan, 36, pula didenda RM5,000 atau tiga bulan penjara, manakala warga Indonesia, Hasan Hatip, 46, dijatuhkan hukuman penjara 20 bulan.

Pada masa sama, Sithick Ali Abdul Salim, 30, yang turut didakwa mengikut seksyen yang sama mengaku tidak bersalah dan dibenarkan ikat jamin RM8,000 sebelum kes disebut semula pada 22 November ini.

Prosiding di mahkamah itu hari ini, turut menyaksikan 11 warga tempatan termasuk seorang wanita didenda selepas mengaku bersalah gagal menunjukkan pasport ketika mahu meninggalkan negara ini untuk pergi ke suatu tempat di luar Malaysia.

Bagi perbuatan yang dilakukan di Jabatan Imigresen, Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru itu, tujuh daripada mereka didenda RM1,900 atau dua bulan penjara, manakala empat lagi termasuk wanita berusia 56 tahun itu didenda RM1,500 atau dua bulan penjara.

Pendakwaan terhadap mereka yang berusia antara 22 hingga 61 tahun itu dibuat mengikut Seksyen 2(2) Akta Pasport 1966 yang membawa hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Imigresen Negeri Johor, Sarvena Giman, Norzuriana Muhammad Nor dan Noor Hasimah Othman.

#kw denda, benar PATI bekerja

#loc Johor Bahru

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Oktober 2017 @ 8:49 PM