Ahmad Suhael Adnan dan Luqman Arif Abdul Karim


PEMANSUHAN tugas perkeranian guru menerusi pelaksanaan lima inisiatif, berkuat kuasa Januari 2019 ialah hanya langkah pertama.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, langkah pertama bersifat intervensi jangka pendek itu dirangka dengan mengambil kira pandangan akar umbi, iaitu golongan pendidik yang mengajar di sekolah.

Katanya, ia merangkumi usaha memudahkan pengurusan fail dan dokumentasi, membabitkan tiga intervensi demi merungkai kemelut pengurusan Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT), fail panitia dan pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).

“Inisiatif kedua ialah pengurusan data dan sistem dalam talian, merangkumi pelaksanaan dua intervensi yang menyaksikan semua pengumpulan data diambil daripada sumber maklumat sedia ada dalam sistem Kementerian Pendidikan.

“Sistem kehadiran murid dalam talian akan digunakan sepenuhnya sebagai sumber rekod, justeru guru tidak lagi perlu mengisi buku jadual kedatangan murid.

“Teknologi menyaksikan penggunaan sistem ‘pengecaman wajah’ yang lazimnya wujud dalam telefon pintar, justeru kita sedang meneliti kemungkinan menggunakan pendekatan ini, namun bukan dalam jangka pendek.

“Seiring pemansuhan peperiksaan Tahap 1 (murid tahun satu, dua dan tiga), sekolah boleh merangka sendiri pelaksanaan literasi dan numerasi (LINUS) yang bersesuaian dengan keperluan murid,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pendidikan, bertemakan ‘Pendidikan Untuk Semua’, di Universiti Putra Malaysia, Serdang, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Dr Mohd Gazali Abas; Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Datin Dr Siti Hamisah Tapsir.

Maszlee berkata, inisiatif keempat pula merangkumi penyeragaman borang dan proses pemantauan menerusi dua intervensi bagi memastikan guru tidak lagi dibebani tugas pengkeranian.

GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

“Inisiatif terakhir ialah penyelarasan penubuhan jawatankuasa di peringkat sekolah, menerusi dua intervensi untuk memastikan pelbagai jawatankuasa yang tidak berkaitan dengan tugas mendidik akan dimansuhkan.

“Lima inisiatif ini hanya langkah pertama, manakala percaturan fasa kedua membabitkan penyediaan lebih banyak latihan dan kursus yang perlu bagi memastikan guru mampu menawarkan pendekatan pengajaran terbaik.

“Kementerian dalam penelitian khas untuk melihat semula sistem latihan warga pendidik di Insititut Pendidikan Guru (IPG) supaya ia diperkasakan, bukan hanya sekadar menukar nama maktab saja,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Maszlee berkata, baki 92 daripada 394 projek sekolah daif di seluruh negara, membabitkan peruntukan dana RM1.701 bilion masih dalam pelbagai peringkat pelaksanaan dan dijangka siap selewatnya pada Mac ini.

Sehingga 31 Disember 2018, katanya, sebanyak 237 atau 60 peratus projek siap dan dikeluarkan Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC), manakala 65 (17 peratus) siap pembikinannya dan dalam proses pengeluaran CPC sebelum diserahkan untuk kegunaan sesi persekolahan 2019.

“Pembangunan sekolah daif pada 2019 akan ditambah baik dari aspek penggunaan skala impak, kaedah pelaksanaan dan skop pembinaan, dengan keutamaan diberikan kepada sekolah yang mendapat pengesahan tidak selamat daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan teknikal Kementerian Pendidikan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 January 2019 @ 12:28 PM