ANTARA gelagat murid tahun satu pada hari pertama persekolahan di Kuantan, 2 Januari lalu. FOTO Farizul Hafiz Awang
ANTARA gelagat murid tahun satu pada hari pertama persekolahan di Kuantan, 2 Januari lalu. FOTO Farizul Hafiz Awang
Fairul Asmaini Mohd Pilus


BERI fokus kepada kepelbagaian potensi pelajar adalah antara 10 sebab mengapa Kementerian Pendidikan mengambil langkah memansuhkan Peperiksaan Tahap Satu dan digantikan dengan sistem pentaksiran yang lebih objektif bermula tahun ini.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, pemansuhan penilaian seragam itu adalah bagi membolehkan guru memberi tumpuan penuh kepada tugas mendidik selain pelajar juga akan bebas daripada tekanan di awal usia persekolahan mereka.

"Pemansuhan itu turut membolehkan guru menyemai nilai-nilai murni dalam diri pelajar dengan prinsip ‘Values are caught and taught.’

"Ia sekali gus dapat membantu membentuk karakter pelajar dengan kaedah ‘learning - centered’ disamping membina dan memperkukuhkan kemahiran 4M iaitu membaca, menulis, mengira serta menaakul," katanya menerusi video yang dimuat naik di laman Facebook dan Twitter beliau, hari ini.

Menurut Maszlee lagi, pemansuhan peperiksaan itu turut membolehkan kementeriannya melaksanakan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) yang terdiri daripada permainan, projek mudah, main peranan, bercerita dan kuiz kepada pelajar.

Kata beliau, ia sekali gus dapat mempertingkatkan bakat, minat, kemahiran dan sahsiah pelajar.

"Dengan inisiatif ini, guru diberi ruang untuk merancang aktiviti PBD pelajar manakala objektif pembelajaran pula berdasarkan standard yang ditentukan oleh guru itu sendiri mengikut kaedah serta keperluan pelajar.

"Semua itu adalah 10 sebab kenapa Peperiksaan Tahap Satu dimansuhkan dan ia selari dengan pendekatan pendidikan ke arah ‘learning centered,’ bukan lagi ‘exam oriented,’" katanya.

Pada 31 Oktober lalu, Maszlee mengumumkan peperiksaan bagi murid Tahap Satu yang membabitkan pelajar tahun satu, dua dan tiga dimansuhkan.

Pengumuman itu mendapat maklum balas positif daripada ibu bapa yang berpendapatan pemansuhan itu secara tidak langsung mengubah struktur pendidikan menjadi lebih baik.

Kata mereka, penilaian bukan titik di mana ia membangunkan dasar pembangunan pendidikan sebaliknya satu ujian pemahaman berkenaan teori yang dipelajari.

Bagi ibu bapa yang tidak menyokong, kebanyakan mereka beranggapan ujian adalah penting untuk melihat pencapaian murid sepanjang tahun berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 January 2019 @ 2:38 PM